LOS ANGELES, 10 APRIL – Ons Jabeur menewaskan juara bertahan Belinda Bencic dengan straight set untuk menjuarai kejohanan tanah liat Terbuka WTA Charleston kelmarin.
Ons, pemain kelima dunia dari Tunisia membalas dendam kekalahan kepada Belinda pada final tahun lalu dengan kemenangan sengit 7-6 (8/6), 6-4 dalam tempoh kurang dua jam.
Pemain Switzerland, Belinda menewaskan wakil Amerika Syarikat, Jessica Pegula 7-5, 7-6 (7/5) dalam aksi separuh akhir yang terjejas akibat hujan semalam dan kembali ke gelanggang berdepan Ons sekitar 30 minit kemudian.
Namun tiada tanda kepenatan daripada pemain Swizerland itu ketika dia tangkas mendahului 5-3 pada set pertama tetapi Ons berjaya menyamakan kedudukan 5-5 sebelum mendahului 6-5.
Belinda kemudiannya tampak bermasalah dengan servisnya tetapi masih mampu bangkit daripada ketinggalan 0-40 untuk memaksa tie break.
Momentum sekali lagi bertukar dengan Belinda mendahului dua mata akhir selepas mendahului 6-4 pada tie break sebelum Ons bangkit semula dengan meraih empat mata berturut-turut sekali gus memenangi set itu.
Ons kemudiannya pantas meninggalkan lawan 4-1 di set kedua dan ketika Belinda cuba memberi tentangan, Ons mendapat servis penamat pada kedudukan 5-4. – AFP