MADRID, 25 APRIL – Juara bertahan Ons Jabeur menarik diri daripada Terbuka Madrid semalam kerana mengalami kecederaan buku lali kiri, sekali gus menghalang persiapannya untuk Terbuka Perancis bulan depan.
Jabeur, pemain ranking ke-4 berusia 28 tahun dari Tunisia, berhenti bermain menentang pemain nombor satu, Iga Swiatek pada hari Sabtu ketika ketinggalan 3-0 pada set pertama separuh akhir mereka di kejohanan gelanggang tanah liat di Stuttgart, Jerman.
Jabeur mengumumkan apa yang disebutnya ‘kemas kini tentang situasi saya’ di akaun Twitternya semalam, mengatakan bahawa dia menjalani ‘banyak pemeriksaan perubatan’ dan mendedahkan bahawa buku lalinya ‘terkoyak’.
“Saya memerlukan lebih banyak masa untuk pulih,” katanya, sambil menambah, “Saya sedih untuk mengumumkan bahawa saya tidak akan dapat bersaing di Madrid.”
Aksi undian utama di Terbuka Madrid bermula pada hari ini. Jabeur ialah pemain berprofil tinggi terbaharu yang menarik diri, menyertai juara Grand Slam 22 kali, Novak Djokovic dan Rafael Nadal.
Jabeur adalah naib juara pada dua kejohanan Grand Slam pada 2022, iaitu Wimbledon dan Terbuka AS.
Dia menyertai Terbuka Perancis tahun lalu sebagai salah seorang pilihan kejuaraan selepas kejayaan di tanah liat merah – termasuk gelaran di Madrid – tetapi tewas pada pusingan pertama di Roland Garros.
Permainan dijangka bermula di Paris pada 28 Mei. – AP