Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    ‘Jadi institusi progresif, dinamik’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Pucuk kepimpinan di Jabatan Penjara diseru untuk mempersiapkan dan memandu pegawai termasuk anggotanya ke arah mencapai sasaran kerja yang diharapkan supaya jabatan berkenaan kekal menjadi sebuah institusi pemulihan yang dipercayai, progresif dan dinamik.

    “Sokongan daripada semua pegawai dan anggota Jabatan Penjara dalam mencapai apa yang dihasratkan juga sangat penting dan ini dapat dicapai dengan kerjasama, bersatu padu, dalam mendukung misi dan visi jabatan serta mengekalkan disiplin yang tinggi, berintegriti, jujur, amanah lagi berwibawa.”

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap pada Majlis Perbarisan Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-69, 2023 yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, hari ini.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), para pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Penjara serta ketua-ketua cawangan daripada agensi kerajaan Daerah Tutong.

    Yang Berhormat Dato menekankan supaya setiap pegawai dan anggota Jabatan Penjara hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menerima tabik hormat di majlis yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin memeriksa perbarisan.

    Bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.

    “Saya tidak mahu pandangan positif ini dicalar dengan perkara atau perbuatan negatif oleh segelintir pegawai atau anggota Jabatan Penjara itu sendiri seperti melibatkan diri dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti rasuah, berkelakuan tidak baik, menyalahgunakan kuasa, yang sudah setentunya akan menjejaskan bukan sahaja diri pegawai atau anggota itu sendiri malahan juga akan mencalarkan nama baik jabatan itu,” ujarnya.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan untuk memperkukuhkan lagi sistem kawalan dan keselamatan di institusi penjara, peruntukan telah diberikan untuk membiayai kerja-kerja menaik taraf dan pemeliharaan bangunan di Penjara Maraburong Fasa 1 dan Fasa 3 serta Penjara Jerudong termasuk pemasangan sistem CCTV.

    Selain itu, Sistem Pengurusan Banduan (IMS) perlu untuk disiapkan sepenuhnya bagi membolehkan sistem itu digunakan dalam membantu Jabatan Penjara mengurus dan mentadbir dengan menerapkan teknologi.

    Yang Berhormat Dato turut menyambut baik usaha Jabatan Penjara untuk mengadakan jerayawara pencegahan jenayah dalam bentuk ceramah dan pameran di sekolah-sekolah serta institut pengajian tinggi dengan melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain.

    “Inisiatif ini sangatlah baik sebagai intervensi pencegahan jenayah dan ia hendaklah dibuat secara berterusan serta dilaratkan kepada penduduk kampung dan mukim dengan penglibatan pemimpin di peringkat akan umbi,” ujarnya lagi.

    Yang Berhormat Dato percaya melalui program kesedaran itu, ia akan memberikan kefahaman kepada para belia dan orang ramai mengenai kesan perbuatan jenayah kepada keselamatan dan kesejahteraan awam khasnya dan negara amnya.

    Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin telah memeriksa perbarisan anggota Jabatan Penjara serta menyaksikan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat jalan.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Penjara, Awang Mohammad Hafizzudin bin Haji Madoon.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...