KUALA LUMPUR, 26 APRIL – Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei mahu pemain negara yang belum pernah merasai pengalaman beraksi di Sukan Olimpik untuk mengambil inspirasi daripada kisahnya pada edisi Athens 2004 di Greece.
Chong Wei berkata pemain negara yang bakal mengharungi kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bermula bulan depan tidak seharusnya berputus asa dan perlu berjuang sehingga ke titisan terakhir bagi memastikan mereka dapat melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu seperti apa yang dirasainya hampir dua dekad lalu.
Pemenang pingat perak perseorangan lelaki sebanyak tiga kali berturut-turut pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 itu mengakui sama sekali tidak menyangka mewakili negara pada Sukan Olimpik 2004 memandangkan dirinya belum pernah mewakili negara di pentas Sukan SEA mahupun Sukan Asia ketika itu.
“Ketika itu hanya Wong Choong Hann dan Roslin Hashim yang sah pergi, namun sewaktu menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Kuala Lumpur saya berjaya mara ke suku akhir dan secara tak langsung dapat berada dalam kedudukan ke-15 dalam ranking top 16 ke Sukan Olimpik kerana ketika itu setiap negara dibenarkan menghantar tiga wakil berbanding dua ketika ini.
“Saya tidak rasa tekanan langsung kerana tiada siapa mengharapkan pingat daripada saya di Athens 2004, hanya pergi dan enjoy.
Selepas Choong Hann dan Roslin tersingkir, tinggal saya sahaja seorang yang menentang pemain nombor dua dunia ketika itu dari China, Chen Hong pada pusingan 16 dan kecewa tewas walaupun saya main set penentuan tetapi saya banyak belajar di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chong Wei berkata demikian pada majlis pembukaan Soul Sports Physio and Rehab Centre yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – Bernama
