Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jaga adab berkomunikasi dalam media sosial

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Peralatan komunikasi masa kini ibarat sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan jika ia digunakan dengan betul dan dalam masa yang sama juga ia boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya disalah gunakan.

    Ini kerana sebagai manusia kadangkala mudah terlupa akan batas agama serta dosa dan pahala sehingga ada yang sanggup menggunakan alat komunikasi untuk menjatuhkan atau mendedahkan keaiban seseorang termasuk menyebarkan fitnah.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk Adab Berkomunikasi dalam Media Sosial menegaskan, yang lebih dahsyat ada yang sanggup mencipta berita palsu, dokumen palsu, gambar palsu yang disebarkan melalui internet dan media sosial hanya semata-mata untuk tujuan jahat.

    Khatib berkata, antara cara untuk melestari dan mengekalkan keharmonian hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara, adalah dengan menjaga adab dan tingkah laku dalam pergaulan antara satu sama yang lain.

    “Perkara tersebut adalah salah satu cabang ketinggian akhlak dan kemuliaan keperibadian seseorang dan ini juga termasuk ketika berkomunikasi,” tegasnya.

    Gambar Freepik

    Khatib turut menjelaskan, tidak dapat disangkal bahawa pelbagai bentuk media digital berasaskan media sosial telah memberikan kemudahan dan manfaat yang luar biasa kepada masyarakat.

    Seluruh lapisan masyarakat pada masa kini menjadikan media sosial sebagai medium informasi dan penghubung dalam kehidupan seharian, tegasnya, tetapi pada sisi yang berbeza media sosial itu sekiranya disalah gunakan, ia juga berperanan sebagai medium untuk menyebarluaskan perkara yang tidak baik.

    Dalam pergaulan seharian, tambah khatib, dengan menggunakan alat komunikasi hendaklah mengamalkan cara berkomunikasi menurut ajaran agama.

    Ini antaranya, jangan berkomunikasi dengan cara merendahkan dan mencaci maki orang lain, jangan mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan keburukan seseorang, jangan menggelar seseorang dengan gelaran yang tidak disukainya dan menjaga tutur bicara dan perkataan agar tidak mendatangkan kemarahan orang lain.

    Selain itu, ‘Tabayyun’ iaitu mensabitkan dan menyemak asas kebenaran sesuatu perkara dan oleh itu, di mana setiap perkara, informasi, berita atau perkhabaran yang diterima dan diperoleh hendaklah diselidiki dan disiasat terlebih dahulu kebenaran dan kesahihannya sebelum memviral atau menularkan ke laman sosial dan aplikasi tertentu dan menjauhi berprasangka buruk dan mencari kesalahan.

    “Rasulullah SAW menegah umatnya daripada bersifat buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain, kerana sifat tersebut akan membawa kepada perbuatan umpat dan fitnah, dan di zaman moden ini, perbuatan mengumpat dan menabur fitnah semakin mudah disebarkan,” tambahnya.

    Khatib turut mengingatkan, dalam agama Islam, mengumpat dan memfitnah adalah satu perbuatan haram, tercela dan termasuk dalam dosa besar.

    “Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang kepada kata-kata umpat dan fitnah, ini kerana umpat dan fitnah bukan sahaja menyebabkan mendapat dosa besar malah mengakibatkan tidak akan dapat masuk syurga,” tegas khatib.

    Media sosial juga pada dasarnya untuk mempermudah sesuatu dan media sosial jika digunakan dengan niat yang betul akan membawa kepada manfaat dan kesejahteraan hidup, tetapi sekiranya media sosial disalahgunakan akan membawa kepada perkara sia-sia dan merugikan.

    Sebagai pengguna media sosial yang bijak, jelas khatib, hendaklah sentiasa muhasabah diri dan berusaha menjaga setiap tingkah laku dan tutur kata terutama semasa berkomunikasi di media sosial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...