Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Dalam menyambut 1 Syawal esok, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memaklumkan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Orang ramai dinasihatkan untuk meningkatkan kewaspadaan dan berhati-hati apabila ingin melakukan urusan pengeluaran wang sama ada melalui kaunter bank mahupun dari mesin ATM, pastikan awda ditemani terutamanya jangan membiarkan warga emas pergi mengeluarkan wang bersendirian.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah atau dalam kenderaan di mana ia boleh menjadi daya tarikan penjenayah.
Segala wang ringgit, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat yang tidak mudah diketahui; hendaklah meninggalkan pesan kepada jiran tetangga untuk melihat dan memerhati kawasan rumah semasa ketiadaan di rumah dalam tempoh masa yang lama dan digesa bagi memasang alat-alat keselamatan seperti CCTV atau alat penggera.
Orang ramai khususnya pemandu dan pengguna jalan raya lain digesa supaya dapat meningkatkan lagi kewaspadaan semasa memandu dan menggunakan jalan raya.


Marilah kita sama-sama menanamkan sikap disiplin atau pemanduan yang berhemah dengan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dan mengikut arahan papan-papan tanda keselamatan di tepi jalan terutama peraturan lampu isyarat.
Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan amalkan mengubah sikap suka memandu secara laju, jangan sekali-kali menggunakan telefon bimbit semasa memandu sama ada membuat panggilan atau membuat pesanan ringkas, sentiasa menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu dan menggunakan kerusi keselamatan khas untuk kanak-kanak.
Turut dinasihatkan untuk tidak memandu ketika mengantuk dan hendaklah melakukan pemeriksaan kepada kenderaan bagi memastikan kenderaan selamat untuk dipandu, jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan dan lebih penting sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain dan mengambil tanggungjawab dalam menjaga keselamatan sendiri serta orang lain.
Orang ramai juga diseru supaya akan sentiasa berterusan memberi bantuan dan kerjasama menyalurkan apa jua maklumat kegiatan jenayah di negara ini kepada pihak PPDB sama ada berhubung terus ke balai-balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline 993.
Dalam waktu yang sama, PPDB akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dari semasa ke semasa untuk meningkatkan usaha dalam menjaga keamanan, keselamatan dan ketenteraman Negara Brunei Darussalam.

