Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    ‘Jaga kredibiliti institusi’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Dalam menghadapi landskap keselamatan yang dinamik, sukar diramal dan kian berubah, para rekrut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dinasihatkan sentiasa bersedia, beradaptasi dan fleksibel melalui apa jua cabaran yang bakal dihadapi sepanjang berkhidmat dalam ABDB.

    “Selain itu, semangat kepahlawanan, nilai jati diri dan disiplin hendaklah sentiasa ditunjukkan sebagai tanggungjawab dan komitmen bagi memartabatkan kredibiliti dan menjaga nama baik institusi,” tekan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal bin Abdul Latif semasa menyampaikan ucapan pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan ke-170 ABDB yang berlangsung di Penanjong Garison.

    Beliau turut mengingatkan kepada semua rekrut yang berjaya menamatkan latihan itu agar sentiasa berwaspada terhadap trend ancaman-ancaman terkini akibat globalisasi dan arus pemodenan yang tidak mempunyai sempadan termasuklah jenayah-jenayah yang bersumber daripada media-media sosial.

    Jelasnya, dengan berbekalkan ilmu, didikan dan kemahiran yang telah diperolehi melalui latihan asas, ia telah sedikit sebanyak memberikan kesedaran bersituasi dan kebijaksanaan dalam menilai perkara-perkara berhubung kait dengan ancaman-ancaman sekuriti yang bukan sahaja boleh menjejaskan keselamatan diri sendiri dan keluarga, malah keselamatan institusi dan negara.

    Terdahulu sebelum itu, Pemerintah TDDB itu turut berkesempatan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan para rekrut menempuhi latihan asas ketenteraan sejak 14 minggu yang lalu.

    Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal semasa menyampaikan anugerah kepada salah seorang rekrut.
    Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal semasa menyampaikan ucapan.

    “Kejayaan itu adalah titik permulaan bagi para rekrut selaku generasi masa depan, untuk mengorak langkah lebih jauh dalam menghadapi perjalanan dan kerjaya sebagai seorang tentera yang terlatih di dalam ABDB, dan akan sama-sama berganding bahu menanai visi dan misi institusi, seterusnya memberikan sumbangan yang bermakna kepada pertahanan negara.

    “Di samping itu, saya menaruh keyakinan bahawa para rekrut yang menamatkan latihan pada pagi ini adalah merupakan belia negara yang bersemangat tinggi dengan iltizam serta bersedia untuk mencurahkan khidmat bakti pada mempertahankan kedaulatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara yang selama ini telah kita warisi sejak turun temurun,” jelas beliau lagi.

    Seterusnya dalam ucapannya turut menyentuh mengenai perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-39 yang lalu.

    “Kita selaku warga ABDB merupakan barisan benteng pertahanan negara yang sama-sama bertanggungjawab dan berkewajipan ke arah memartabatkan maruah negara serta mempertahankan nilai-nilai keamanan dan kemerdekaan yang negara kita nikmati hingga ke saat ini.

    “Justeru, melalui latihan asas ketenteraan yang telah dilalui, sudah setentunya akan memberi landasan asas tetapi kukuh, kepada membangun jati diri masing-masing, terutamanya dalam penekanan nilai-nilai sahsiah yang telah digariskan oleh Kementerian Pertahanan melalui nilai-nilai teras ABDB iaitu Setia, Takwa, Berani dan Profesional,” tambahnya.

    Pada masa yang sama, beliau turut mengongsikan pelan strategik ABDB mengenai perubahan Latihan Asas Rekrut yang lazimnya dilaksanakan selama 24 minggu, kini dipendekkan jangka waktunya kepada 14 minggu, dengan penyusunan program latihan asas yang lebih khusus dan seimbang, tanpa mengkompromikan piawaian, standard dan output yang dihasratkan.

    Dengan pendekatan itu, Institut Latihan ABDB kini mampu melatih seramai 960 anggota rekrut setiap tahun iaitu 900 anggota tentera lelaki dan 60 wanita yang mana bertepatan dengan kehendak pentadbiran, keanggotaan dan operasi ABDB dan secara tidak langsung juga akan memberikan sumbangan bermakna pada usaha kerajaan dalam menangani isu pengangguran di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...