Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalin persekitaran mesra perniagaan di Borneo

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dengan rancangan Indonesia untuk memindahkan dan membina ibu kota baharu, Nusantara ke Wilayah Kalimantan Timur, di Pulau Borneo pada 2024, ia dijangka akan meningkatkan lagi potensi aktiviti pembangunan dan ekonomi di Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

    Ia juga pasti akan memberi kesan domino dan membantu memajukan lagi kawasan lain di rantau ini dan mengimbangi pembangunan serta pertumbuhan ekonomi di seluruh Borneo.

    Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa menghadiri rundingan Meja Bulat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) mengenai Borneo yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengatakan untuk merealisasikan pertumbuhan ekonomi di rantau Borneo, terdapat beberapa faktor yang perlu diperkukuhkan seperti
    ketersambungan antara negeri, negara, dalam dan luar rantau BIMP-EAGA.

    Bagi Brunei, katanya, inisiatif strategik dalam bidang ketersambungan telah dirancang dan diimplementasikan oleh agensi-agensi berkenaan dan sektor swasta, seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa berucap pada rundingan Meja Bulat ABAC.
    Dayang Haslina Taib ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Antara tetamu jemputan yang hadir ke majlis tersebut.
    Barisan tetamu jemputan yang menghadiri majlis tersebut.

    “Selain memperkukuhkan ketersambungan darat dan udara, kita juga perlu mengukuhkan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat dengan menggalakkan dan meningkatkan mobiliti dalam Borneo dan menghubungkan Borneo dengan seluruh dunia,” tambahnya.

    Dengan perhubungan yang lebih baik, akan ada impak positif kepada landskap perniagaan yang ditimbulkan oleh aliran lancar bukan sahaja barangan dan perkhidmatan tetapi juga pergerakan manusia di seluruh Borneo dan dunia.

    Di samping itu juga, perniagaan di rantau ini perlu menerap teknologi dalam perancangan dan operasi terutama dalam urusan e-dagang, komunikasi, akses lebih baik kepada pasaran global, keefisienan perdagangan meningkat dan manfaat lainnya.

    Menjalin persekitaran mesra perniagaan di Borneo akan menggalakkan inovasi, keusahawanan dan pelaburan, oleh itu, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kerajaan, perniagaan dan organisasi relevan perlu bekerjasama dalam sinergi untuk mewujudkan dasar-dasar dan rangka kerja yang mempromosi ease of doing business, menyingkirkan penghalang kepada perdagangan dan pelaburan serta memudahkan kerjasama rentas sempadan.

    Dalam keterujaan untuk memajukan rantau itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan kepentingan pembangunan mapan dan inisiatif hijau kerana Borneo adalah salah satu rantau yang memiliki pelbagai sumber asli dan biodiversiti di dunia, jadi adalah mustahak bagi rantau itu untuk berkembang tanpa menjejaskan alam sekitar dan memulihara sumber asli itu untuk masa depan.

    Rundingan meja bulat mengenai Borneo itu kemudian diteruskan lagi dengan penyampaian pembentangan daripada ABAC, Arsjad Rasjid selaku Pengerusi Indonesian Chamber of Commerce and Industry, mengenai Nusantara, Indonesia’s Future Capital by Indonesian Chamber of Commerce and Industry (KADIN) dan disusuli dengan pembentangan daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong mengenai Dagang Borneo oleh ASEAN BAC Brunei.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda