LONDON, 28 APRIL – Seutas jam tangan emas yang ditemui pada mayat penumpang terkaya di Titanic telah dilelong di England pada harga £1.17 juta (AS$1.46 juta), kelmarin.
Ia adalah jumlah rekod bagi objek yang dikaitkan dengan bencana perkapalan 1912 yang terkenal itu, kata pelelong Henry Aldridge dan Son.
Seorang pembeli Amerika Syarikat (AS) memenangi bidaan, mengatasi anggaran pra-jualan pelelong antara £100,000 dan £150,000.
Jam tangan itu, diukir dengan huruf awalan JJA, adalah milik usahawan AS, John Jacob Astor.
Astor berusia 47 tahun ketika dia meninggal dunia sewaktu Titanic tenggelam pada 15 April
1912. Dia terkenal sebagai salah seorang lelaki terkaya di dunia pada masa itu.
Dia meninggal dunia selepas membantu isterinya, Madeleine, menaiki salah sebuah bot penyelamat. Isterinya terselamat daripada bencana itu.
Mayat Astor ditemui seminggu selepas bencana itu, di mana jam tangan antara barangan peribadinya.
“Jam tangan itu sendiri telah dipulihkan sepenuhnya selepas dipulangkan kepada keluarga
Kolonel Astor dan dipakai oleh anak lelakinya,” kata kenyataan daripada syarikat lelong itu. – AFP