PARIS, 17 DIS – Seutas jam tangan yang pernah dipakai oleh wira perang Perancis dan Presiden Charles de Gaulle telah dijual lebih setengah juta euro dalam lelongan barangan peribadinya di Paris, kata rumah lelong Artcurial.
Harga jualan sebanyak 537,920 euro (AS$564,000) kelmarin mencatatkan rekod dunia untuk seutas jam tangan berusia 150 tahun, jenama LIP.
Pengilang jam tersebut, yang berpangkalan di Besancon, Perancis timur, masih menghasilkan jam ‘General de Gaulle’ disebabkan naungan lelaki yang dianggap sebagai negarawan terbesar negara itu.
Lelongan memorabilia de Gaulle oleh Artcurial, yang juga merangkumi surat-surat, manuskrip buku dan laporan sekolah, berjaya mengumpul 5.6 juta euro secara keseluruhan.
Lelongan itu dianjurkan oleh keturunan de Gaulle yang mewarisi banyak barang peribadi melalui abangnya, Philippe, yang meninggal dunia pada usia 103 tahun pada bulan Mac.
Beberapa institusi Perancis termasuk Perpustakaan Negara Perancis dan Arkib Negara turut menjadi pembeli dalam lelongan yang berlangsung selama lapan jam, kata Artcurial. – AFP