Friday, December 13, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jambatan SHOAS untuk kenderaan berdaftar di Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Berikutan pembukaan sempadan laluan darat, Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan telah mengkategorikan kenderaan yang boleh melalui jambatan itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan jawatankuasa itu hari ini, penggunaan Jambatan SHOAS adalah dihadkan kepada kenderaan berdaftar di Negara Brunei Darussalam bagi Kelas I, III, IV dan VI sahaja.

    Walau bagaimanapun, bagi kenderaan-kenderaan komersial yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam dalam Kelas II dan V, kebenaran hendaklah dipohonkan kepada Brunei Bridge Authority (BBA) bagi Permit Menggunakan Jambatan.

    Manakala bagi kenderaan pendaftaran asing dalam semua kelas dinasihatkan untuk menggunakan jalan yang dibenarkan iaitu ASEAN Highway 150 (AH150) yang lazimnya digunakan pada masa ini. Kementerian Pembangunan melalui BBA, Jabatan Kerja Raya adalah bertanggungjawab bagi pengurusan dan pemeliharaan penggunaan jambatan itu secara amnya, dibantu oleh agensi-agensi yang berkepentingan dari segi penguatkuasaan, sekuriti dan keselamatannya.

    Penjagaan penggunaan Jambatan SHOAS secara berterusan adalah berpandukan kepada beberapa kaedah logistik termasuklah rondaan sepanjang jambatan, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan dalam masa terdekat, Sistem Pengangkutan Pintar.

    Jawatankuasa juga mengingatkan pengguna untuk mematuhi had kelajuan 100kmsj bagi kenderaan biasa manakala had kelajuan bagi kenderaan komersial adalah 80kmsj. Pihak BBA akan menutup jambatan bila difikirkan perlu seperti semasa keadaan cuaca tidak mengizinkan atau bagi mana-mana perkara yang menyebabkan jambatan berkenaan tidak dapat digunakan.

    Penunggang basikal dan pejalan kaki adalah tidak dibenarkan untuk menggunakan jambatan tersebut.

    Jambatan SHOAS boleh digunakan ken-deraan berdaftar di Brunei manakala kenderaan berpendaftaran asing dinasihatkan menggunakan ASEAN Highway 150.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda