Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Jangan berhenti tingkat ilmu Al-Quran

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Kejayaan menyandang johan bahagian qari pada Musa-baqah Al-Quran Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1443H / 2022M tidaklah datang semudah yang disangka, namun perlu usaha tanpa henti mempertingkatkan ilmu pengetahuan, di samping mengasah kemahiran pembacaan Al-Quran secara berterusan.

    Perkara itu diungkapkan oleh johan qari yang baru dinobatkan kelmarin, Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah semasa ditemu bual wartawan selepas majlis musabaqah itu.

    Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran atas rezeki yang dimenangi itu.
    Menurutnya, para peserta musabaqah kali ini telah menghadiri bengkel dua minggu yang dikendalikan oleh fasilitator dari Malaysia dan menjalani latihan intensif.

    “Di samping itu, persediaan rutin secara persendirian turut diadakan di rumah, namun dengan adanya bengkel yang kami hadiri tersebut sudah pasti memberi nilai tambah kepada kami meningkatkan lagi ilmu daripada qari antarabangsa dari Malaysia,” tambahnya.

    Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada isteri, ibu, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya yang banyak membantu dan menjadi pendorong semangatnya selama ini.

    Awang Muhammad Zul-Hafiz bersama isteri dan anak-anaknya setelah Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443H/2022M kelmarin.
    Dayangku Fauziah Nadhirah bersama ahli keluarganya yang banyak memberi sokongan sehingga membawa kepada kejayaan merangkul johan qariah.

    Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan para belia di negara ini yang berminat dalam bidang taranum Al-Quran untuk menghadiri dan mengikuti segala pertandingan yang dianjurkan atau kelas-kelas taranum bersama guru-guru yang berpengalaman lagi berkebolehan sebagai motivasi bagi diri sendiri.

    Manakala johan qariah, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri turut menzahirkan rasa syukur pertama kali memenangi pertandingan tersebut. Beliau juga menghargai dorongan kedua-dua ibu bapa dan adik beradiknya terutama ibunya, Hajah Aminah binti Haji Abdul Manaf yang merupakan bekas qariah negara yang tidak asing lagi.

    Selain itu, bengkel sebelum pertandingan bersama guru-guru profesional juga banyak membantunya, kata Dayangku Fauziah Nadhirah semasa mengulas persediaan sebelum pertandingan.

    Beliau juga menitipkan nasihat kepada para belia yang berminat dalam bidang taranum Al-Quran untuk meneruskan minat bermanfaat itu dan mengembangkan bakat mereka melalui ilmu daripada guru profesional.

    Beliau berharap kejayaannya akan menjadi contoh dan inspirasi kepada orang ramai terutama belia untuk memperdalamkan lagi ilmu taranum Al-Quran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...