Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan hanya sekadar cantik pada luaran semata

    PENAMPILAN harian menawan memberikan aura luar biasa yang dapat meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang. Tidak kiralah wajah disolek dengan solekan memukau atau sekadar mengenakan solekan nipis, keyakinan diri elemen terpenting dalam rutin harian setiap wanita.

    Istilah ‘Beauty With Brain’ lebih diperlukan pada wanita era kini memandangkan segalanya memerlukan ilmu. Atas faktor itu juga wanita kini bukan hanya perlu tampil cantik malah perlu sentiasa menonjolkan diri dengan personaliti yang hebat.

    Perunding Imej Bertauliah Norfazidah Abd Samad berkata, bagi memastikan diri tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek dan kehidupan semasa, wanita perlu bertindak.

    “Tidak ada gunanya memiliki wajah cantik semata-mata tetapi tidak berkeyakinan ketika berdepan dengan orang ramai. Wanita kini perlu lebih ke depan dan membuktikan istilah cantik itu luas, tidak hanya tertumpu pada wajah putih gebu serta bentuk badan langsing saja.

    “Yakin pada diri sendiri dan penuhkan aura positif dalam kehidupan seharian. Paling penting sentiasa berusaha untuk menyerlahkan lagi personaliti diri dan jangan terus kekal di takuk lama,” katanya.

    Zahirkan karakter yang disenangi. Cuba bersikap riang dan memahami individu sekeliling. Jangan mengikut emosi anda sendiri terutama apabila berada dalam kelompok yang besar. – Gambar hiasan
    Membina keyakinan diri adalah penting supaya wanita tidak dipandang rendah masyarakat. Ia sekali gus membuktikan wanita bukan sekadar golongan yang sinonim dengan kepakaran mereka di dapur. – Gambar hiasan
    Istilah ‘Beauty With Brain’ lebih diperlukan pada wanita era kini memandangkan segalanya memerlukan ilmu. Atas faktor itu juga wanita kini bukan hanya perlu tampil cantik malah perlu sentiasa menonjolkan diri dengan personaliti yang hebat. – Gambar hiasan

    Menurut Norfazidah, membina keyakinan diri adalah penting supaya wanita tidak dipandang rendah masyarakat. Ia sekali gus membuktikan wanita bukan sekadar golongan yang sinonim dengan kepakaran mereka di dapur.

    “Wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata umpamanya, perlu menjadikan diri sebagai teladan terbaik yang boleh menjadi ikutan keluarga dan rakan.

    “Tonjolkan diri dengan kepelbagaian personaliti diri yang hebat supaya anda lebih disenangi dan dihormati. Jangan sesekali bersikap malu tidak bertempat dan tidak yakin pada kemampuan diri,” katanya.

    Seiring saranan, dikongsikan tujuh langkah asas yang boleh dilakukan wanita untuk sentiasa berketerampilan dan berkeyakinan ketika berdepan khalayak:

    1. Kenali personaliti diri anda

    Belajar untuk kenali diri sendiri terlebih dulu. Kaji kekurangan dan kelebihan diri sendiri yang akan membantu anda lebih berketerampilan sekali gus meningkat semangat untuk sentiasa ke hadapan.

    2. Tetapkan matlamat personaliti yang jelas

    Matlamat yang jelas membantu hala tuju seseorang untuk tampil lebih yakin dan memukau. Dalam hidup, seseorang itu perlu ada matlamat yang tepat untuk memudahkannya mencapai apa diinginkan.

    3. Berpakaian sesuai mengikut T.O.P (Time, Occasion, Place)

    Berpakaian sesuai mampu menaikkan kredibiliti dan menjadi diri anda dihormati. Walaupun ini lebih kepada membina faktor dan tarikan luaran, namun perlu diingatkan penampilan harian memainkan peranan besar dalam mendapatkan kepercayaan orang lain sekali gus meningkat tahap keyakinan diri.

    4. Bahasa tubuh yang meyakinkan

    Bahasa tubuh yang tepat mampu mempengaruhi tanggapan pertama orang di sekeliling anda. Sentiasa fokus dan yakin dengan diri sendiri serta jangan sesekali bersikap malu tanpa sebab ketika berdepan dengan khalayak.

    5. Zahirkan karakter yang disenangi

    Fahami etika dan sentiasa praktikkan dalam kehidupan seharian. Cuba bersikap riang dan memahami individu sekeliling. Jangan mengikut emosi anda sendiri terutama apabila berada dalam kelompok yang besar.

    6. Penggunaan bahasa atau komunikasi berkesan

    Ia mampu memberi impak besar kepada orang lain dalam proses penyampaian maklumat. Cara seseorang itu berkomunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kerana ia menentukan sama ada individu itu mudah didampingi atau sebaliknya.

    7. Menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran diri

    ‘Beauty with brain’ – kehebatan luaran seiring dengan kehebatan dalaman. Tidak ada gunanya memiliki wajah yang cantik namun tidak seimbang dengan cara pemikiran dan tingkah laku. Segalanya berkait rapat dan cuba jadikan diri anda individu yang bukan hanya cantik dipandang malah berpengetahuan serta mudah didampingi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda