Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan kembali lakukan dosa selesai tunai haji

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sebaik sahaja selesai menunaikan haji, para jemaah haji diingatkan agar tidak kembali melakukan dosa. Sebaliknya hendaklah memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah dilakukan semasa acara manasik haji sebagai ‘mukhaiyyam tarbawi’.

    Perkara tersebut adalah antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Zunainah binti Haji Gunong semasa Malam Munajat Khas Wanita kali ke-10, dari Mekah Al-Mukarramah dengan tajuk ‘Apa Selepas Haji?’.

    Malam Munajat yang diadakan malam kelmarin turut mengundang tetamu khas iaitu Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Mekah Al-Mukarramah.

    Program tersebut turut disertai oleh jemaah haji wanita termasuk para pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam serta para pegawai pembimbing ugama Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) secara maya dari Mekah Al-Mukarramah.

    Seterusnya, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama,

    Antara yang menyertai Program Malam Munajat Khas Wanita yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama

    Sekolah Ugama Jerudong, Dayang Nurhafizah binti Ali Hassan, dari Makkah Al-Mukarramah.

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pembimbing Ugama, DSSB, Hajah Rusita binti Haji Yahya, dari Mekah Al-Mukarramah.

    Sejurus selesai tazkirah, bacaan Asma’ul Husna dipimpin oleh Pembantu Pensyarah dalam Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hamizah binti Haji Haidi, dari Mekah Al-Mukarramah.

    Bagi memberkati acara majlis, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Pembimbing Ugama DSSB, Hajah Norsinah binti Haji Hussin, dari Makkah Al-Mukarramah.

    Turut sama mengimarahkan acara tersebut ialah para Muslimah dan ahli jawatankuasa takmir masjid dari beberapa buah masjid di seluruh negara serta warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan kerohanian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredaan Allah SWT.

    Di samping itu, berdoa agar jemaah haji Negara Brunei Darussalam khasnya dan seluruh umat Islam amnya selamat dan mendapat haji mabrur serta rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan penyakit berbahaya seperti COVID.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda