Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jangan leka menjelang Syawal’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Tidak dapat dinafikan pada waktu hari-hari terakhir bulan Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi ini, kemeriahan menyambut kedatangan Syawal kian terasa.

    Masing-masing sudah sibuk membuat persediaan Hari Raya seperti menyediakan keperluan rumah, pakaian, makanan serta minuman dan bermacam-macam lagi, semuanya itu demi meraikan Aidilfitri yang mulia.

    “Sememangnya, agama Islam tidak melarang kita untuk membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya, ini kerana hari tersebut adalah hari kemenangan umat Islam setelah melaksanakan rukun Islam yang ketiga dan berjaya melawan godaan hawa nafsu,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menyambut Kedatangan Syawal’.

    Tetapi, khatib mengingatkan, umat Islam agar tidak terlalai dan terleka akan kewajipan terhadap Allah SWT semasa membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal ini, khususnya di akhir bulan Ramadan kerana pada masa inilah sewajarnya merebut peluang untuk mempertingkatkan lagi amalan ibadat untuk memperolehi ganjaran berlipat ganda seperti yang dijanjikan Allah SWT.

    Khatib turut menekankan agar jangan terlupa untuk mengeluarkan dan membayar zakat fitrah bagi diri sendiri dan juga orang di bawah tanggungan ketika Ramadan hampir ke penghujungnya.

    “Mengeluarkan zakat itu adalah salah satu rukun Islam yang lima yang wajib ditunaikan di mana hukumnya wajib atas setiap orang Islam yang cukup syarat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta,” katanya.

    Beliau juga menjelaskan waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu waktu wajib bermula terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan, kedua waktu sunat iaitu sebelum imam mendirikan sembahyang Hari Raya.

    Manakala yang ketiga pula waktu harus, dari awal bulan Ramadan dan yang keempat ialah waktu makruh iaitu selepas sembahyang Hari Raya.

    Sementara yang kelima waktu haram iaitu sesudah jatuh matahari Hari Raya pertama, malah perbuatan ini adalah satu dosa dan wajib dibayar juga sebagai qada kerana dikeluarkan di luar waktunya.

    Menurutnya lagi, kewajiban membayar zakat fitrah ini sebenarnya mengandungi rahsia dan hikmahnya yang tersendiri.

    Antara hikmah tersebut, jelasnya, adalah untuk menampal kekurangan yang berlaku ketika berpuasa yang mungkin dilakukan tanpa disedari atau tidak disengajakan seperti terlanjur mengeluarkan kata-kata yang kurang baik atau mengeluarkan perbuatan yang dilarang agama.

    Ini seperti mengumpat, memaki orang, melihat perkara maksiat dan seumpamanya.

    Oleh itu, marilah sama-sama meriahkan dan menyambut kedatangan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi dengan tidak mencemari sambutan dengan perkara dosa dan maksiat setelah sebulan berpuasa.

    “Mudah-mudahan ibadat puasa dan segala amal kebajikan yang kita lakukan disepanjang bulan Ramadan dan juga bulan-bulan yang lain akan diterima oleh Allah SWT dan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT,” tekan khatib semasa mengakhiri khutbahnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda