BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai 2012 – Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis yang menjanjikan cinta kerana apa yang mungkin diperolehi adalah bukannya cinta tetapi wang simpanan yang hilang melayang.
Itulah nasihat yang diberikan kepada wanita-wanita tempatan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis lelaku yang mereka kenali melalui laman sosial Internet, di mana terdapat kisah mengenai wanita tempatan yang kehilangan ribuan ringgit kerana ditipu oleh lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penipuan Persatuan Bank-Bank Brunei, Dexter Keasberry dalam satu program ceramah.
Dexter mengongsikan kisah penipuan cinta, di mana beliau telah bertemu dengan pelanggan-pelanggan terutamanya wanita, bertemu lelaki ketika melayari Internet di mana mereka menjadi mangsa penipuan dan menghantar wang ke luar negara.
Menurut Dexter lagi, lelaki itu memberitahu wanita berkenaan bahawa beliau dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk bertemu wanita itu di Brunei, namun semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang, kereta beliau mengalami kerosakan, lalu meminta wanita berkenaan menghantar wang kepadanya untuk membaiki kereta serta berjanji untuk membayar balik wang berkenaan.
Wanita yang sama tertipu lagi apabila lelaki berkenaan berkata bahawa ibunya sedang sakit dan meminta wanita itu untuk memindahkan wang kepadanya untuk menampung kos perubatan yang tinggi.
Wanita itu telah menghantar wang berkenaan ke lelaki asing itu dan telah kehilangan sekitar $30 ribu.
Beliau juga berkata bahawa dalam kes yang berasingan, seorang wanita telah menghantar sejumlah wang yang banyak menjangkau enam angka kepada seorang lelaki di negara jiran dan apabila pihak bank memeriksa akaun bank lelaki berkenaan, mereka mendapati akaun itu digunakan bagi tujuan penipuan kerana lelaki berkenaan menerima wang dari pelbagai sumber.
Ketika disoal, wanita itu berkata bahawa beliau telah bercinta dengan lelaki berkenaan dan beliau berjanji untuk berkahwin dengannya.