Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jangan putus asa untuk bertaubat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Kita tidak boleh berputus asa untuk bertaubat walaupun merasakan bahawa dosa kita itu banyak, kerana rahmat Allah itu sangat luas.

    Bertaubat ini juga adalah salah satu resipi kejayaan seorang mukmin kerana Allah SWT sendiri berjanji dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud, ‘Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beroleh kejayaan’.

    Perkara berkenaan ditegaskan oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Mohd Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof dalam tazkirahnya sempena Program Munajat dan Taubat Senegara yang diadakan secara fizikal, yang merupakan antara acara utama dalam Majlis Ilmu bagi 2023 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin.

    Beliau seterusnya menyatakan, taubat bukan hanya untuk mengetahui akan maknanya dan kepentingannya, tetapi jauh lebih penting adalah untuk kita dapat menjiwai dan sedar akan kewajipan Taubat.

    “Al-Imam Al-Ghazali di dalam Minhajul Abidin telah menyatakan bahawa permulaan untuk melakukan taubat itu ada tiga iaitu mengingati bahawa sangat buruknya perbuatan-perbuatan dosa itu, mengingati betapa beratnya azab seksa Allah SWT, dan mengingati tentang kelemahan dan kekurangan daya upaya kita untuk menanggung azab Allah SWT,” jelas beliau.

    Program berkenaan disertai sama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Program tersebut diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di keempat-empat daerah iaitu Daerah Belait di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Daerah Tutong di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar dan; Daerah Brunei dan Muara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

    Ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari 92 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara juga menyemarakkan program tersebut yang juga boleh diikuti secara maya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menyertai Program Munajat dan Taubat Senegara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...