Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kedutaan asing dialu-alukan lawat ESSCOM

    LAHAD DATU, 3 DIS – Pihak kedutaan asing di negara ini dialu-alukan untuk melawat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan meninjau Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE) bagi melihat sendiri tahap keselamatan di kawasan itu sentiasa terjamin.

    Mengalu-alukan perkara itu, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya sedia untuk membantu pihak kedutaan asing itu bagi mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri taklimat yang diberikan mengenai agensi tersebut dan ESS ZONE.

    “Dengan cara ini kita boleh memberikan mereka (pihak kedutaan) komitmen serta kepercayaan bahawa sebenarnya kawasan ESS ZONE kita selamat dan harapan saya wakil kedutaan ini apabila pulang mereka membawa gambaran jelas keadaan di ESS ZONE.

    “Kemudian besar harapan kita supaya mereka dapat mengemas kini situasi nasihat perjalanan yang dikeluarkan negara masing-masing,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata demikian mengulas langkah United Kingdom (UK) menukar nasihat perjalanan yang sebelum ini dikeluarkan bagi kawasan pantai timur Sabah susulan situasi keselamatan semakin baik di lokasi itu terutama di daerah Kudat yang merupakan sebahagian daripada ESS ZONE.

    ESSCOM ditubuhkan 10 tahun lepas dengan dikoordinasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ESSZone merangkumi daerah Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

    Sementara itu, Victor berkata perubahan nasihat perjalanan dilakukan UK bagi warga British melancong ke Sabah itu merupakan suatu perkembangan positif untuk pembangunan zon tersebut.

    Beliau berkata perubahan itu juga membuktikan kehadiran pasukan keselamatan di ESS ZONE membawa peningkatan keselamatan dan tahap kesejahteraan masyarakat sekali gus melonjak ekonomi termasuk sektor pelancongan. – Bernama

    Komander Kawasan Keselamatan Khas (ESSCom) Datuk Victor Sanjos yang ditemu bual bersama wartawan di Pejabat Bernama Kota Kinabalu di sini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...