Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Jangan salah guna kuasa

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Apabila memegang kuasa dalam satu-satu pekerjaan, hendaklah menjalankan dan melaksanakan kuasa tersebut selaras dengan prosedur, tatacara, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
     
    Sesungguhnya, kuasa tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan atau diperlakukan untuk kepentingan diri sendiri.
     
    “Ini kerana, sekiranya kuasa itu diselewengkan atau digunakan untuk melanggar peraturan yang ditetapkan untuk kepentingan sendiri atau untuk orang tertentu, inilah yang dikatakan salah guna kuasa,” tegas khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Jangan Mengkhianati Amanah yang telah Dipertanggungjawabkan.
     
    Sebagai umat Islam, tegasnya, setentunya tahu perbuatan salah guna kuasa merupakan satu perbuatan yang dilarang dalam agama Islam, manakala dari segi perspektif undang-undang pula ia merupakan satu kesalahan jenayah.
     
    Antara kesalahan yang berkaitan dengan salah guna kuasa adalah seperti rasuah dan pecah amanah.
     
    Gambar MP
    Orang yang melakukan jenayah tersebut adalah orang yang mementingkan diri sendiri, menggunakan kuasa dan jawatan sebagai lesen untuk mendapatkan kesenangan sendiri atau orang tertentu dengan cara salah.
     
    Menurutnya, salah guna kuasa juga dianggap sebagai perbuatan zalim dan dari perspektif perkhidmatan awam pula, penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai dan ini memberi impak buruk kepada negara.
     
    Ini kerana penjawat awam sepatutnya menggunakan kuasa dan amanah yang dipertanggungjawab untuk menjalankan tugas dan memberikan perkhidmatan dengan adil dan tidak mengambil kesempatan.
     
    “Kerajaan melantik dan memberi jawatan untuk menjalankan tugas demi bangsa, negara dan agama untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri,” tekannya.
     
    Antara contoh salah guna kuasa seperti mereka yang memegang jawatan tinggi memberi arahan sesuka hati kepada orang bawahan atau pegawai dari jabatan lain untuk melakukan sesuatu yang melanggar prosedur kerja atau kepentingan diri sendiri dan bercanggah dengan etika kerja.
     
    Negara Brunei Darussalam telah menggubal undang-undang bagi menangani kesalahan salah guna kuasa dan salah satunya ialah Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131, di mana akta ini memberi kuasa kepada pegawai Biro Mencegah Rasuah untuk menyiasat mana-mana individu termasuk penjawat awam tidak kira pangkat atau jawatan yang menyalahgunakan kuasa dalam melakukan perbuatan menerima atau meminta rasuah, memberi, menawarkan atau menjanjikan rasuah.
     
    Jika salah guna kuasa berlarutan dan dijadikan sebagai satu amalan, tegas khatib, akan pincanglah pentadbiran negara kerana diterajui oleh mereka yang khianat dan tidak boleh dipercayai serta orang yang diberi kepercayaan tetapi mengkhianati, yang disebut munafik.
     
    Apa saja yang diperoleh daripada hasil melakukan perbuatan salah di sisi agama Islam termasuk salah guna kuasa adalah tidak berkat, apa tah lagi jika hasil tersebut diperolehi kerana rasuah.
     
    Khatib juga mengingatkan, jangan terlalu taksub untuk memperoleh harta hingga sanggup menggunakan cara yang salah dan tidak betul dan jadilah orang yang tegas dan berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang.
     
    “Kita tidak perlu takut melaporkan perkara yang salah di sisi undang-undang kerana apa yang kita buat adalah untuk mencegah jenayah,” tegasnya.
     
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...