Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Orang ramai disarankan untuk tidak menyebarkan maklumat tular yang tidak sahih berhubung keadaan cuaca negara.
Saranan itu dibuat oleh Ahli Meteorologi dari Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Dayang Nadiahtul ‘Afifah binti Haji Mohd Yasin berikutan maklumat kurang tepat mengenai taufan yang melanda negara jiran, yang tular baru-baru ini serta menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Semasa Taklimat Cuaca Kebangsaan ke-18 yang berlangsung di Auditorium, Jabatan Penerangan, hari ini, beliau memberikan penerangan mengenai penggunaan dan ciri-ciri aplikasi mudah alih BDMD, Brunei WX dan menasihati orang ramai supaya menghubungi talian 114 untuk mengesahkan sebarang maklumat mengenai keadaan cuaca di negara ini.
Taklimat anjuran BDMD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi itu dihadiri oleh kira-kira 103 orang wakil daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai.
Dalam taklimat berkenaan, Ahli Meteorologi dari BDMD, Awang Mohammad Affindi bin Haji Sabli telah menerangkan mengenai keadaan cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi monsun timur laut yang akan bermula pada awal Disember ini dan dijangka berterusan sehingga Mac 2023.
Pada dua bulan pertama monsun timur laut iaitu Disember 2022 dan Januari 2023, jelasnya, ia juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, di mana lazimnya negara menerima jumlah turunan hujan yang terbanyak dan merekodkan bilang hari-hari berhujan tertinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Semasa tempoh berkenaan, negara pada lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir, sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun berkenaan iaitu pada Februari dan Mac, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Taklimat berkenaan merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan tindakan awal dan keselamatan, kumpulan ekonomi dan industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat-syarikat insurans, perusahaan kecil dan sederhana serta pihak media massa.
Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi negara ini.