Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menegaskan bahawa tidak ada sebarang individu atau agensi yang dilantik mahupun pegawai dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) untuk pengambilan sebarang foto dan cap jari ke rumah-rumah orang awam.
Penjelasan itu dibuat oleh KHEDN dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, berikutan maklumat dan gambar tular yang disebarkan melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp pada 3 Mei berkaitan ‘Maklumat Keselamatan Tinggi’ yang memaklumkan mengenai kegiatan satu kumpulan yang menyamar sebagai pegawai hal ehwal dalam negeri bagi tujuan banci dengan mengambil foto dan cap jari untuk tujuan pengesahan kad pengenalan.
KHEDN menekankan bahawa mereka mengambil serius mengenai mesej-mesej tular yang tidak berasas berkenaan dan ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
KHEDN menekankan bahawa perbuatan seperti itu adalah satu kesalahan di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 yang mana individu yang menyebarkan berita palsu secara lisan atau tulisan atau dengan apa juga cara lain dan menyebabkan ketidaktenteraman orang ramai dikira sebagai melakukan kesalahan dan boleh dijatuhi hukuman denda $3,000 dan penjara selama tiga tahun.