Tuesday, March 18, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangkitan boleh berlaku di mana-mana

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Pada masa ini kita tidak boleh melabelkan seseorang itu dijangkiti sama ada di sekolah atau tidak kerana kita sudah berada dalam Fasa Endemik dan mereka boleh dijangkiti dari mana-mana tempat.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika memberi penjelasan mengenai maklumat tular baru-baru ini mengenai jangkitan COVID-19 yang berlaku di sekolah.

    Semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kanak-kanak masih lagi membuat ujian pantas antigen (ART) tiga kali seminggu di rumah masing-masing.

    “Ini bukan lagi seperti sebelum ini pada mula-mula pandemik di mana semasa gelombang pertama dan kedua, kita sudah mengetahui jangkitan itu mula menular sama ada dari pejabat atau sekolah dan sebagainya.

    “Dengan keadaan semasa, kita tidak dapat memastikan di mana seseorang itu dijangkiti sama ada di rumah, sekolah atau apabila keluar rumah di mana ada keramaian dan sebagainya,” tekannya.

    Jadi, jelas Yang Berhormat Dato, ia tidak dilabel sebagai kluster sekolah atau kluster pejabat dan sebagainya di mana ia bukan lagi seperti sebelum ini di mana kita boleh memastikannya apabila temu bual dibuat bersama keluarga atau kontak.

    “Disebabkan keadaan endemicity dengan jumlah kadar vaksinasi yang tinggi, ramai yang tidak mempunyai gejala dan mereka boleh mendapat jangkitan itu di mana-mana dan sebab itu tidak dilabel kluster sekolah, kerja dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

    Jangkitan boleh berlaku di mana-mana oleh sebab itu tidak lagi diperlukan untuk dilabel kluster sekolah, kerja dan sebagainya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda