Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    JANS sasar liputan bekalan air luar bandar 90 peratus menjelang 2035

    KOTA KINABALU, 10 JULAI – Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dijangka dapat mencapai sasaran sehingga 90 peratus liputan bekalan air terawat bagi kawasan luar bandar di seluruh Sabah menjelang 2035, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Air Negeri (JANS) itu dijalankan melalui peruntukan geran Persekutuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

    “JANS juga merancang menambah kapasiti bekalan air di daerah-daerah lain mengikut zon Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman Sabah yang disenaraikan dalam program peruntukan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Aliakbar Gulasan (ADUN dilantik) yang bertanya bilakah kerajaan meletakkan sasaran supaya Sabah tidak lagi mengalami masalah air.

    Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata JANS mempunyai 89 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negeri dengan kapasiti reka bentuk 1,534 juta liter sehari (jlh) dan pengeluaran semasa 1,420jlh.

    Beliau berkata JANS juga menyelia dan mengoperasikan aset-aset air di tujuh empangan, 161 set janakuasa, rumah pam air mentah (1,126), dan tangki simpanan air di daerah (1,150).

    Terdapat juga projek jangka panjang yang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga lima tahun, antaranya skim bekalan air Lahad Datu Fasa Satu berkapasiti 60jlh dijangka siap pada Mac 2025; penambahan kapasiti LRA Telibong II dari 80jlh ke 160jlh termasuk saliran paip utama dan tangki simpanan yang dijangka siap November ini, kecuali saluran paip utama yang dijangka siap pada Januari 2025.

    Selain itu skim bekalan Air Tawau Fasa III, reka bentuk dan pembinaan empangan air mentah berkapasiti 30 juta meter padu (MCM) dijangka siap pada Julai 2026, pembinaan LRA Cinta Mata II, Tawau – LRA baharu berkapasiti 30jlh dijangka siap 2028. – Bernama

    Datuk Shahelmey Yahya ketika mengadakan sidang media di luar bangunan Menara Kinabalu pada 14 Jun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda