Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang di kawasan Bukit Nanas Andulau, Sungai Liang telah ditemui tetapi diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian, sehari selepas laporan kehilangannya.
Menurut kenyataan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Balai Polis Sungai Liang telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kehilangan lelaki berusia 39 tahun itu pada 21 Julai dan melancarkan gerakan mencari dengan menubuhkan pos kawalan insiden (ICP) yang membabitkan PPDB, Jabatan Bomba dan Penyelamat, paramedik dan Pasukan Simpanan Gurkha bagi tujuan bantuan koordinasi pencarian.
Mangsa ditemui sekitar 2.2 kilometer dari ICP pada 22 Julai, dalam keadaan tidak sedarkan diri. Polis mengesahkan bahawa mangsa adalah lelaki yang hilang dan diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari tempat penemuan dan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi pemeriksaan dan siasatan lanjut. Polis bagaimanapun masih menyiasat punca kejadian.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan, manakala ICP telah ditutup dan diberhentikan kelmarin.


