Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jatuhkah thalaq suami yang dilakukan secara bertulis?

    Sambungan minggu lepas

    Selain lafaz ath-thalaq, lafaz al-firaq dan as-sarah juga adalah lafaz thalaq yang jelas. Lafaz al-firaq dan as-sarah dianggap lafaz-lafaz thalaq yang jelas kerana lafaz-lafaz (at-thalaq, al-firaq dan as-sarah) berulang kali disebut di dalam al-Qur’an. Dalam bahasa Melayu, perkataan ath-thalaq, al-firaq dan as-sarah ketiganya-tiganya membawa maksud cerai.

    Antara contoh lafaz-lafaz thalaq yang dilafazkan secara jelas ialah: “Aku talak engkau” atau “aku ceraikan engkau” atau “engkau yang dithalaq” atau “engkau yang diceraikan”.

    Hukumnya:

    Thalaq yang dilafazkan oleh suami dengan lafaz-lafaz jelas itu adalah sah dan jatuh thalaq walaupun tanpa niat untuk menjatuhkan thalaq.

    Kedua: Lafaz kinayah (kiasan)

    Lafaz thalaq dalam bentuk kinayah ialah lafaz yang boleh membawa maksud thalaq dan pada masa yang sama boleh juga membawa maksud yang lain. Contohnya suami berkata kepada isterinya: “Ku lepaskan engkau kepada keluargamu”.

    Adapun maksud “ku lepaskan engkau kepada keluargamu” boleh sahaja membawa maksud ‘menthalaq/menceraikan isterinya’ atau boleh sahaja membawa maksud ‘membenarkan/mengizinkan/tidak menghalang untuk pergi/berjumpa keluarga’.

    Gambar Freepik

    Hukumnya:

    Jatuh atau tidaknya thalaq yang dilafazkan oleh suami dengan lafaz kiasan ini adalah bergantung kepada niat suami. Jika dia berniat bahawa apa yang dilafazkan kepada isterinya itu bermaksud thalaq, maka jatuhlah thalaq. Tetapi jika lafaz itu tidak diniatkannya sebagai thalaq, maka yang demikian tidaklah jatuh thalaq.

    Adakah Jatuh Thalaq Melalui Tulisan Suami?

    Untuk menghukumkan sama ada jatuh ataupun tidak thalaq yang dibuat melalui tulisan si suami kepada isterinya di mana tulisan (sama ada berbentuk surat atau nota) mengandungi kenyataan suami menthalaq isterinya perlu dilihat dari beberapa aspek.

    a. Jika suami seorang yang boleh berkata-kata

    Jika tulisan tersebut didakwa ditulis oleh suami dan diakuinya atau suami mengakui bahawa dia sendiri menulisnya, maka dilihat dari aspek:

    i. Niat si suami.

    Sebagai contoh, si suami menulis ungkapan: “Aku thalaq engkau dengan thalaq satu”. Dalam hal ini:

    – Jika si suami tidak berniat untuk menjatuhkan thalaq dengan tulisannya itu, maka thalaq tersebut tidak jatuh. Sebagai contoh: suami menulis ungkapan thalaq untuk mencuba dakwat pen ke atas kertas.

    Akan tetapi jika dia berniat untuk menjatuhkan thalaq ke atas isterinya, maka jatuhlah thalaq dengan tulisannya itu.

    Ini kerana thalaq melalui tulisan itu adalah termasuk dalam kategori lafaz thalaq kinayah. Lafaz thalaq kinayah akan jatuh bila lafaz tersebut disertai dengan niat.

    – Jika suami menulisnya dan sewaktu atau selepas menulis perkataan thalaq itu dilafazkannya, maka jatuhlah thalaq kerana thalaq jelas dilafazkan malahan turut diungkapkan melalui tulisan.

    ii. Lafaz thalaq yang ditulis suami.

    • Sebagai contoh, suami menulis surat kepada isterinya. Antara isi kandungan surat tersebut berbunyi: “Jika sampai kepadamu suratku ini, maka terthalaqlah engkau” dan dia berniat untuk menjatuhkan thalaq kepada isterinya, maka:

    – Jika surat tersebut sampai kepada isterinya, jatuhlah thalaq. Namun sebaliknya, jika surat tersebut tidak sampai kepada isterinya, maka thalaq tersebut tidak jatuh.

    – Jika surat tersebut sampai ke tangan isterinya, tetapi kandungan surat tersebut hilang, maka tidak jatuh thalaq ke atas isterinya.

    – Jika tersisa kesan tulisan tersebut dan masih boleh dibaca isinya, maka jatuh thalaq tersebut. Begitu juga jatuh thalaq jika yang hilang permulaan atau penutup surat tersebut seperti kalimat “Bismillah Hirrahman Nirrahim” atau kalimat “Alhamdulillah”.

    Berlainan halnya pula jika yang hilang itu adalah perkataan thalaq, maka dalam keadaan itu tidak jatuh thalaq tersebut.

    • Contoh yang lain pula, suami mengirim surat kepada isterinya. Antara isi kandungan surat tersebut berbunyi: “Jika engkau membaca suratku ini, maka terthalaqlah engkau”. Dalam keadaan ini, thalaq dihukumkan mengikut keadaan yang berlaku seperti berikut:

    – Jika si isteri merupakan seorang yang boleh membaca, lalu surat tersebut dibacanya, maka dia terthalaq. Ini kerana dia telah melakukan perbuatan yang menyebabkan jatuhnya thalaq iaitu membaca.

    Akan tetapi jika surat tersebut dibacakan kepadanya oleh orang lain, maka tidak sah dan tidak jatuh thalaq kerana isteri tidak membaca walhal dia (si isteri) sebenarnya boleh membaca.

    – Jika si isteri seorang yang buta huruf dan si suami mengetahui akan keadaan isterinya, maka dalam hal ini jatuh thalaq jika surat tersebut dibacakan kepadanya oleh orang lain.

    Walau bagaimanapun, jika suami tidak mengetahui akan keadaan isteri yang buta huruf, maka tidaklah si isteri terthalaq menurut pendapat yang lebih tepat (aqrab) sebagaimana disebutkan dalam kitab ar-Raudhah.

    Cabang Permasalahan:

    • Dakwaan isteri yang dinafikan suami

    Seperkara yang perlu diketahui bahawa jika si isteri mendakwa bahawa dia telah mendapat tulisan (surat) daripada suaminya yang mengatakan bahawa dia dithalaq, akan tetapi suami menafikan melakukan perkara itu, maka dalam hal ini diterima penafian suami dengan bersumpah. Oleh itu tidaklah jatuh thalaq dengan penafian suami menulis akan tulisan itu.

    b. Jika suami seorang yang bisu

    Jika tulisan tersebut ditulis oleh suami yang bisu, maka tulisan tersebut dianggap sebagai kinayah dan thalaq hanya jatuh bila suami itu memang berniat untuk menjatuhkan thalaq walaupun dia tidak menunjukkan isyarat menjatuhkan thalaq pada waktu menulisnya.

    Walau bagaimanapun, penentuan jatuhnya thalaq atau tidak jatuhnya thalaq tersebut tidak hanya dilihat pada niat suami semata-mata. Dalam memutuskan perkara ini, terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dilihat, antaranya;

    1. Orang yang menulis tulisan (surat atau nota) tersebut kepada isteri adalah suaminya sendiri bukannya orang lain.

    2. Suami tidak dipaksa untuk menjatuhkan thalaq.

    3. Suami memang berniat untuk menceraikan isteri.

    4. Bergantung pada isi kandungan tulisan.

    5. Bergantung pada keadaan adakah isteri boleh membaca atau tidak ketika menerima tulisan tersebut.

    Walau apapun, untuk menentukan kedudukan ini, kedua suami isteri janganlah memutuskannya secara bersendirian mengenai tulisan yang mengandungi lafaz thalaq yang dihantar suami itu sama ada jatuh thalaq atau tidak.

    Pihak terbabit iaitu si isteri yang mendapat tulisan si suami atau si suami yang memberi tulisan itu hendaklah merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syari‘ah untuk mendapatkan pengesahan sama ada thalaq melalui penulisan ini boleh menyebabkan jatuh thalaq atau tidak.

    Pihak Mahkamah Syari‘ah akan menyiasat beberapa perkara berhubung dengan suami, isteri dan tulisan tersebut dan beberapa perkara lain yang pada pandangan pihak Mahkamah Syari‘ah mempunyai kaitan dengan kes thalaq melalui cara tulisan ini.

    Seterusnya pihak Mahkamah Syari‘ah akan membuat keputusan sama ada thalaq suami melalui tulisan ini jatuh atau tidak.

    Sebagai kesimpulan, lafaz thalaq yang ditulis kepada isteri boleh menyebabkan jatuh thalaq jika memenuhi syarat-syarat yang digariskan syara‘.

    Thalaq tidak semestinya jatuh hanya dengan lisan, bahkan adakalanya thalaq boleh jatuh apabila diungkapkan melalui tulisan.

    Begitu juga thalaq boleh jatuh sekalipun diucapkan dalam keadaan gurau senda atau diucapkan bukan di hadapan isteri.

    Oleh itu, para suami dan isteri perlu berhati-hati dalam perkara thalaq.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...