Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Setelah menamatkan pengajian kira-kira 41 tahun yang lalu, buat julung kalinya bekas pelajar-pelajar Brunei yang menuntut di Southampton College of Higher Education, United Kingdom, mengadakan majlis pertemuan di sebuah restoran di Beribi, Gadong, baru-baru ini.
Majlis itu menyaksikan bekas-bekas pelajar yang mengikuti berbagai-bagai bidang dan peringkat pengajian antara 1980-1982, bertemu semula sejak mereka menamatkan pengajian di kolej berkenaan.
Majlis pertemuan itu bermula dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah khusus untuk rakan-rakan yang sama menuntut di kolej berkenaan yang telah kembali ke rahmatullah.
Setiap ahli melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua majlis itu dapat diadakan yang dihasratkan untuk mengeratkan dan meneruskan hubungan silaturahim sejak menamatkan pengajian dan meninggalkan kota pelabuhan Southampton.
Penghargaan turut ditujukan kepada beberapa orang ahli kumpulan yang telah membuat perancangan serta persediaan awal sehingga dapat mengadakan pertemuan kali pertama berkenaan.
