Friday, December 20, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jejak logam jadi sumber pendapatan

    KUALA LUMPUR – Bunyi ‘tet, tet, tet’ akan terngiang-ngiang di telinga Heidizaini Jurami, setiap kali dia berehat daripada melakukan aktiviti memburu logam.

    Bunyi alat pengesan logam itu bagaikan menggamitnya agar segera kembali ke lapangan, sementelah dia kini sibuk menguruskan perniagaan menjual peranti berkaitan aktiviti tersebut di Sungai Buloh, Selangor.

    “Lapan tahun dulu saya hanya suka-suka menjejaki logam dan tidak pernah menyangka aktiviti ini akan menjadi sumber pendapatan utama saya sekeluarga sekarang,” kongsinya kepada Bernama.

    Menurut lelaki berusia 46 tahun ini, dia berjinak-jinak dalam bidang itu selepas termakan pujukan isterinya, Siti Norzehan binti Mohd Yatim, 46, yang teruja melihat sekumpulan penjejak logam meraih hasil lumayan daripada kegiatan berkenaan.

    “Dia menonton video tentang penjejak logam di luar negara yang menemukan pelbagai barangan termasuk barang kemas. Kemudian dia pujuk saya agar cuba aktiviti ini sebagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika itu saya bekerja sebagai tukang rumah dengan upah sekadar cukup makan,” katanya.

    Heidi (kiri) dan isterinya Siti Norzehan serta rakan-rakan sebelum melakukan aktiviti menjejak logam di Pantai Morib. – Bernama
    Seorang penjejak logam melakukan aktiviti menjejak logam di Pantai Morib. – Bernama
    Berehat selepas melakukan aktiviti menjejak logam di Pantai Morib. – Bernama
    Cincin lama turut ditemui ketika aktiviti penjejak logam dilakukan di pantai Morib. – Bernama

    GALI DAN TIMBA ILMU

    Akur dengan desakan isteri, Heidizaini yang mesra disapa Heidi, mula mengumpul modal bagi membeli alat pengesan logam terpakai berharga RM2,000.

    “Kemudian saya menggali dan menimba ilmu dengan menonton video di YouTube serta belajar daripada beberapa penggiat tegar tentang cara betul menggunakan alat itu,” katanya, menambah dia dan isterinya turut menyertai komuniti penjejak logam di media sosial bagi meningkatkan pengetahuan.

    Menurutnya, di peringkat awal, mereka hanya melakukan kegiatan itu di pantai-pantai sekitar Selangor seperti Morib dan Bagan Lalang.

    “Tahun pertama itu saya anggap aktiviti hunting ini hanya sekadar suka-suka, tetapi selepas berjaya menemukan pelbagai barangan berharga saya mula memberi perhatian lebih serius,” katanya.

    Menurut Heidi, sikapnya terhadap kegiatan itu berubah selepas hasil yang diraih daripada jualan barangan berharga yang ditemukan berlipat kali ganda berbanding upah sebagai tukang rumah.

    “Kemudian kami mula keluar dari Selangor dan memburu di negeri-negeri lain seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Heidi berkata mereka juga kerap memuat naik aktiviti itu di akaun media sosial mereka, sekali gus menarik perhatian individu lain untuk turut terlibat dalam bidang berkenaan.

    “Dalam tempoh empat tahun, kami berjaya mewujudkan kumpulan penjejak logam kami sendiri melebihi 1,000 orang.

    “Dengan cara ini, kami dapat cari di lokasi lebih luas, sekali gus peluang jumpa barang berharga lebih tinggi. Selain emas, kita juga temukan barangan seperti syiling lama yang kemudian kita jual kepada pengumpul,” katanya.

    Meskipun bekerja dalam pasukan, hasil penemuan adalah milik ahli yang menemukan barangan itu, jelasnya.

    Menurutnya, hasil daripada jualan barangan berharga yang ditemukan itu, dia membeli peralatan baharu dengan harga ribuan ringgit.

    “Alat pengesan baharu ini mampu mengesan besi dan logam yang berada pada kedalaman tanah hingga empat kaki,” katanya.

    JANA LEBIH PENDAPATAN DI NEGARA ORANG

    Heidi berkata bertitik tolak dari situ, dia dan kumpulannya memberanikan diri meneroka peluang di negara luar seperti di Krabi, Thailand dan Bali, Indonesia.

    Bagaimanapun katanya, melakukan pemburuan logam di negara orang tidak semudah seperti di Malaysia kerana kebanyakan pantai yang dikunjungi mereka menetapkan syarat-syarat tertentu termasuk perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa kawasan berkenaan.

    Katanya, ini kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan pelancong dan pihak berkuasa setempat tidak mahu kegiatan memburu barangan berharga itu mengganggu keselesaan pengunjung.

    “Misalnya di Krabi, kami hanya dibenarkan membuat pencarian pada waktu malam, namun kegiatan kami memberikan pulangan yang lumayan.

    “Di sana kami temukan banyak duit syiling pelbagai negara, dan paling berharga barangan kemas. Emas ini kami jual kembali dan ketika itu memang tidak sangka nilainya boleh tampung perbelanjaan di sana termasuk tiket penerbangan,” katanya yang menghabiskan lima hari di pantai itu.

    Heidi berkata perjalanan ke Krabi pada 2018 itu juga merupakan kali pertama dia dan isteri terbang ke luar negara.

    ILMU KEPADA ANAK-ANAK

    Sementara itu, Siti Norzehan berkata kegiatan tersebut bukan sahaja memberikan pulangan tinggi tetapi turut merapatkan lagi hubungan mereka sekeluarga.

    “Dulu hanya jadi suri rumah, sekarang saya gembira kerana dapat turut serta dalam kegiatan itu bersama-sama suami. Malah, tidak ramai wanita yang ceburi bidang ini,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

    Pada masa sama, dia berkata sebarang penemuan barangan tinggalan sejarah, seperti syiling lama, mereka akan kongsikan pengetahuan itu dengan anak-anak.

    “Contohnya, apabila kita jumpa duit syiling zaman British, kami akan berkongsi sejarah pendudukan British di Malaysia dengan anak. Kami juga ajak anak-anak sertai kegiatan kami.

    “Malah, penemuan barangan dari masa lampau juga menarik minat penggiat untuk meneroka dan mempelajari sejarah lokasi di mana barangan itu ditemukan,” jelasnya, menambah pencarian mereka tidak terhad kepada kawasan pantai dan sungai semata-mata, tetapi turut meliputi tempat bersejarah.

    Melalui kegiatan itu juga, Siti Norzehan berkata mereka berinteraksi dengan komuniti setempat. Berkongsi perasaannya semasa melakukan kegiatan itu, dia berkata keterujaan memuncak apabila alat pengesan logam mengeluarkan bunyi.

    “Ketika ini kita berasa tidak sabar untuk menggali tanah dan melihat apa yang kita jumpa,” ujarnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda