Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Seramai 22 orang tenaga pengajar dan kakitangan dari Sekolah Arab Temburong telah menyertai Program Menjejaki Makam Kesultanan Brunei anjuran Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi dengan kerjasama sekolah berkenaan, pagi tadi.
Program kali pertama dianjurkan itu bertujuan untuk memperkenalkan makam-makam kesultanan Brunei yang mempunyai nilai dan kepentingan sejarah di Negara Brunei Darussalam, dan mendedahkan kaedah dan proses pemuliharaan ke atas makam-makam bersejarah.
Di samping itu, ia juga meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan masyarakat Brunei terhadap nilai kepentingan sejarah dan warisan budaya Brunei dan menanamkan semangat kecintaan dan keprihatinan untuk menghargai nilai seni bina, seni ukiran, corak dan tulisan Jawi pada setiap makam bersejarah sebagai seni warisan budaya Brunei.
Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam ucapannya menjelaskan, program berkenaan antara lain adalah untuk melestari dan memasyarakatkan sejarah negara kepada masyarakat Brunei khususnya generasi muda dan belia di negara ini.
Selain itu, tambah beliau, ia juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran terhadap nilai dan kepentingan sejarah tanah air untuk diketahui, dikenali, difahami dan dihayati sekali gus dapat memartabatkan dan memperkasa sejarah kesultanan Brunei untuk terus dijaga dan dipelihara sebagai khazanah warisan negara sepanjang zaman.
Ini adalah sejajar dengan dasar penubuhan PSB untuk memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam membarigakan maklumat dan fakta sejarah yang diperolehi daripada penyelidikan dan pengkajian tentang makam-makam bersejarah ini kepada masyarakat di negara ini sebagai salah satu usaha ke arah menjadikan PSB sebagai sebuah pusat kecemerlangan sejarah dan kesultanan Brunei.
Program diteruskan lagi dengan taklimat yang disampaikan oleh Kurator Sejarah PSB, Awang Mohamad Hazim bin Haji Hashim yang menyentuh mengenai sejarah dan latar belakang makam-makam kesultanan Brunei yang di bawah penjagaan pusat berkenaan.
Kemudian, program diteruskan dengan sesi melawat ke beberapa tapak makam kesultanan Brunei di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kianggeh dan di Kubah Makam Diraja.