Tidak hanya lelaki yang mempunyai badan sado atau menarik hanya mampu bergaya akan tetapi lelaki kurus pun boleh bergaya.
Walaupun mempunyai pinggang yang ramping, kaki yang halus serta leher yang panjang namun itu tidak bermakna anda sebagai jejaka kurus tidak boleh bergaya sakan.
Tengok sahaja gaya rockstar yang kebanyakannya memiliki fizikal kurus. Gaya mereka memang sentiasa menjadi ikutan ramai bukan terdiri dari orang kurus sahaja.
Betulkan ‘cutting’
Jika anda mendapati agak sukar untuk mendapatkan ukuran baju yang betul dan sesuai, anda digalakkan untuk menghantar sahaja baju atau seluar tersebut ke kedai tukang jahit bagi menepati saiz ukuran badan anda. Sekurang-kurangnya, anda tidak kelihatan seperti meminjam baju daripada ayah atau abang yang mempunyai fizikal badan yang lebih besar daripada anda.
Pakai baju selapis
Selain itu, anda digalakkan untuk memakai baju berlapis. Sebagai contoh, anda memakai baju T-shirt dan kemudian memakai jaket ‘Varsity’ atau kemeja yang lebih besar sikit mengikut keselesaan anda. Anda tidak digalakkan untuk memakai baju sehingga tiga lapis apatah lagi keadaan cuaca di negara kita ini yang panas terik dan ia akan membuatkan anda dalam keadaan yang tidak selesa.


‘Slim fit’ adalah terbaik
Bagi lelaki berbadan kurus, pakaian ‘slim fit’ adalah sangat sesuai kerana ia akan menampakkan susuk tubuh anda yang keras dan keadaan bahu yang lebih lebar. Tetapi perlu diingat bahawa, pakaian tersebut bukanlah ‘skinny fit’ kerana ia boleh memperlihatkan lagi badan anda yang sudah kurus.
Elak pakaian longgar
Pakaian longgar memang selesa apabila dipakai. Namun anda perlu elakkan pakaian yang terlalu longgar, kerana ia akan menampakkan lagi struktur badan anda yang sudah kurus. Kebanyakan orang ramai beranggapan dengan mengenakan pakaian longgar, kita akan dapat sorokkan susuk tubuh badan yang kurus, namun tanggapan ini salah sebenarnya.
Elakkan aksesori besar
Aksesori yang besar seperti tali pinggang atau jam tangan yang besar. Pasti anda akan bertanya kenapa? Sebab apa? Cuba anda bayangkan kalau anda memakai jam tangan yang besar, pasti rakan-rakan atau orang ramai akan nampak jam itu dahulu baharulah tangan anda yang sememangnya sudah nampak kurus. Apa yang pasti, anda tidak mahu diperlakukan sedemikian rupa, menjadi alat kepada bahan-bahan gurauan rakan-rakan.
Jauhi corak menegak
Dengan memakai baju yang ada corak menegak adalah teknik bagi menampakkan seseorang itu lebih kurus. Oleh itu, bagi anda yang sudah kurus, perlu elakkan corak sebegini. Sebaiknya, anda digalakkan untuk memakai corak baju yang melintang.
Warna yang cerah
Pakaian yang berwarna cerah menampakkan si pemakai bahawa anda seorang yang berisi dan sangat sesuai bagi anda yang berbadan kurus. Jika boleh, kurangkan memakai pakaian gelap seperti hitam atau coklat. Tetapi kalau anda meminati warna hitam atau gelap, anda boleh menggunakan warna baju kelabu atau coklat terang.
Mengetahui jenama yang sesuai
Berkemungkinan ada sesetengah individu yang tidak tahu bahawa ada beberapa jenama pakaian yang direka khas untuk mereka yang berbadan kurus. Jenama A mungkin sesuai bagi kaum lelaki yang berbadan kurus dan jenama B pula adalah sesuai bagi mereka yang berbadan sado. Oleh itu, pilihlah jenama dan reka fesyen lelaki berbadan kurus yang bersesuaian, seperti Topman, Uniqlo atau H&M. – Agensi