Saturday, October 19, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jejaki evolusi sejarah basikal

    NEW BREMEN, OHIO – Sebuah muzium yang terletak di bangunan bekas hotel di sini di kawasan pedalaman barat Ohio menawarkan sejarah basikal berusia lebih dua abad, daripada kereta pedati awam kepada model Sting Rays tahun 1960an.

    Terdapat juga basikal ais 1901, artifak Donald Duck 1949, basikal keluaran tentera dipasang dengan mesingan, basikal yang muncul dalam filem (Pee Wee Herman) atau milik bintang Robin Williams dan model Schwinns. Sebagai bonus, muzium itu juga mempamerkan kep pengakap yang dipakai oleh lelaki pertama ke bulan.

    Objek pameran memenuhi ruang tiga tingkat. Muzium Basikal Amerika menjejaki impak basikal ke atas budaya, pengangkutan dan keseronokan, menunjukkan bagaimana ia menjadi sinonim kepada kesenangan dan kemudahan, sekali gus timbulnya frasa, ‘Ia bagaikan menunggang basikal.’

    Sebagai contoh, basikal Donald Duck yang dihasilkan oleh Syarikat Shelby Cycle pada 1949. Kepala watak Disney itu terpampang di depan rangka, dengan mata bersinar-sinar dijana bateri. Hon basikal berbunyi kuek dengan badannya berwarna biru serta kuning terang.

    Tergantung di atas Donald pada pameran ialah basikal ais, dengan peluncur di depan roda, dan roda belakang dengan 30 jejari membolehkan penunggang mengayuh di tasik beku.

    Basikal dari era 200 tahun, termasuk ‘penny farthing’ yang dinaiki dan dikayuh pelawat (depan), dipamerkan di Muzium Basikal Amerika di New Bremen, Ohio. – AP
    Basikal Columbia Model 40 1896. – AP
    Model Schwinn DX 1953. – AP

    ‘Basikal ais’ 1901, direka untuk meluncur di tasik beku (atas) dipamerkan bersama basikal Donald Duck 1949 yang direka Shelby Cycle Company di Muzium Basikal Amerika. – AP

    Tidak jauh terletaknya basikal diubahsuai Schwinn DX 1953 yang digunakan dalam filem Pee-Wee’s Big Adventure, filem 1985 mengenai usaha seorang lelaki berkelakuan keanak-anakan untuk mencari basikalnya yang dicuri.

    Muzium itu menyumbang pamerannya kepada era berakhirnya model Schwinn. Pengeluar Amerika yang berpengaruh, ditubuhkan pada 1895 oleh Ignaz Schwinn, jatuh muflis pada 1992. Koleksi ratusan basikal oleh keluarga Schwinn dijual pada pelelongan pada 1997.

    “Adalah sukar untuk menjaga koleksi ini,” beritahu Richard Schwinn kepada Chicago Tribune pada penjualan tersebut. “Kami mungkin menyimpannya dalam stor atau kami menjualnya dan saya sudah bosan menyimpannya.”

    James Dicke II, ketua firma Crown Equipment Corp di New Bremen, yang mengeluarkan forklif, membeli lebih daripada 150 basikal dan memorabilia pada pelelongan pada harga AS$500,000, menurut laporan akhbar. Ia mendorong penubuhan Muzium Basikal Amerika, yang masih dibiayai Dicke. Muzium itu ditempatkan di bekas Hotel Central, yang dibina pada 1891.

    Selain itu, terdapat artifak basikal di muzium di seluruh dunia. Muzium Inovasi Smithsonian dan Henry Ford mempunyai koleksi basikal yang besar. Terdapat beberapa muzium basikal lain yang berselerak di seluruh negara, termasuk Muzium Basikal Heaven di Pittsburg, Muzium Basikal Houston dan Muzium Basikal Marin di Fairfax, California.

    Muzium Basikal Amerika mempunyai salah satu koleksi terbesar dan paling menarik, dengan lebih daripada 700 basikal, di mana 173 sedang dipamerkan sekarang. Ia juga mempunyai lebih daripada 10,000 objek berkaitan basikal, daripada katalog dan iklan kepada pelan dan surat-menyurat, kata Ryan Long, penyelaras muzium.

    Tingkat pertama memaparkan model paling lama dalam koleksi, bermula dengan replika yang dianggap sebagai basikal pertama di dunia: Draisine 1816, dicipta oleh Karl von Drais.

    Sementara itu, ‘mesin berjalan’ ciptaan Jerman mempunyai dua roda dalam saiz yang sama, dan alat mengemudi, tanpa pengayuh. Penunggang mengayuh kenderaan kayu itu dengan kaki mereka, ala Fred Flintstone.

    Kemajuan utama seterusnya adalah basikal velosiped Perancis dengan pengayuh.

    Pengayuh itu dipasang di depan roda, dan basikal itu diberi gelaran ‘kereta buruk’ sempena perjalanannya yang tidak selesa.

    Kereta buruk itu membawa kepada basikal beroda besar, atau ‘penny farthing’, iaitu basikal awal dengan roda besar depan dan roda kecil di belakang.

    Basikal tinggi tidak stabil itu menyebabkan ramai penunggang tersembam di hendal basikal.

    Ciptaan basikal yang selamat pada 1885 oleh John Kemp Starley dari Britain menyenangkan lagi perjalanan berbasikal. Ia mempunyai reka bentuk asas sama yang masih digunakan hari ini: dua roda sama saiz, rangka berbentuk intan dan pengayuh di antara dua roda yang memutar roda belakang. Hasil ciptaan tayar pneumatik ditambah pada pertengahan 1890 melihat dunia mempunyai basikal yang berkembang pesat.

    “Tahun 1890 merupakan era gemilang basikal,” kata Long. “Semua orang mahu sebuah basikal dan pengeluaran meningkat sepanjang 1890 sehingga kereta mengambil alih pasaran.”

    Wanita merupakan golongan paling ramai yang menggunakan basikal, dan papan tanda muzium memetik Susan B Anthony sebagai berkata basikal ‘telah membebaskan lebih ramai wanita daripada apa-apa di seluruh dunia.’ Ia juga membantu mempopularkan fesyen seluar kembang.

    Annie Oakley mendakwa dia merupakan wanita pertama yang menunggang basikal di London, dan dia melakukan beberapa gaya menarik semasa mengayuh.

    Seterusnya, tentera pula melakukan pengubahsuaian lanjut, memasang mesingan Colt pada Columbia Model 40 1896. Model di muzium itu mempunyai kotak simpanan untuk senjata dan pelbagai bekalan dipasang di rak belakang.

    Robin Williams, yang meninggal dunia pada 2014, suka berbasikal dan mengumpul lebih daripada 100 basikal. Muzium itu mempunyai dua di antaranya: sebuah basikal Zipp pada 1992 dan La Carrera Futura 2000, model putih berbintik-bintik buatan Itali yang membuktikan basikal boleh menjadi satu karya seni.

    Menunggang basikal bersama-sama amat popular pada 1890, dan Ignaz Schwinn mencipta sebuah untuk isteri dan dirinya sendiri pada 1897. Ia memaparkan kerusi di antara dua penunggang untuk menempatkan salah seorang anak damit mereka. Muzium itu hanya mempunyai satu model seumpama itu.

    Mungkin model Schwinn yang paling popular adalah Sting Ray, dikeluarkan dari 1968 hingga 1973. Ia memaparkan kerusi berbentuk pisang, dan gear lima kelajuan di tiub yang menganjur dari tempat duduk ke handel. Sting Rays datang dalam warna terang dengan nama model seperti Lemon Peeler, Grape Krate dan Orange Krate.

    Berdekatan Sting Ray ialah dua basikal lebih unik: Huffy Radiobike 1955 yang mempunyai radio dibina dalam rangka dengan dail kawalan volum. Dan Harley Davidson menjual basikal dari 1917 hingga 1922, teknik pemasaran untuk memikat penunggang muda kepada jenama itu, dan muzium mempunyai salah satu model itu bersama kereta sisi.

    Sementara itu, Neil Armstrong, yang membesar di Wapakoneta, menjadi popular dalam jenis kenderaan berlainan, tetapi terdapat koleksi memorabilianya di muzium itu.

    Koleksi Armstrong termasuk dua sut angkasawan, jaket kulit, Sijil Latihan Tentera Udara dan kep pengakap yang mungkin telah dipakainya semasa dia menunggang basikal ke mesyuarat kumpulan mingguan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda