Monday, January 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jejantas untuk penduduk Kampung Jangsak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dengan hasrat untuk menyediakan jejantas bagi kegunaan orang awam khususnya pelajar sekolah dan ibu bapa serta jemaah Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak untuk melintas jalan raya dengan lebih selamat, jejantas pejalan kaki di Kampung Jangsak telah mula dibina.

    Sehubungan itu, Majlis Doa Selamat bagi Pembinaan Jejantas Pejalan Kaki Kampung Jangsak diadakan di tapak pembinaan jejantas, Kampung Jangsak, hari ini.

    Hadir di majlis itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

    Turut hadir ialah para pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan pihak konsultan serta kontraktor bagi projek itu.

    Pembinaan jejantas adalah atas tajaan Yang Dimuliakan Pehin sendiri melalui keizinan Kementerian Pembangunan dengan kos pembinaan berjumlah $330,000.

    Pehin Dato Paduka Goh King Chin, Ir Haji Amer Hishamuddin serta jemputan khas bergambar-ramai di akhir majlis doa selamat berkenaan.
    Lokasi bagi pembinaan jejantas berkenaan.

    Pada majlis itu, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja menyatakan bahawa hasrat untuk membina jejantas itu lahir daripada keinginan untuk memastikan supaya pejalan kaki di kawasan berkenaan termasuk pelajar dan ibu bapa di sekolah berhampiran, jemaah masjid dan pejalan kaki mempunyai kemudahan untuk melintas jalan raya dengan selamat.

    Beliau berharap jejantas itu bukan sahaja memudahkan para pelajar, ibu bapa dan jemaah masjid, bahkan memastikan mereka selamat ketika melintasi jalan di kawasan tersebut.

    Beliau dan Ir Haji Amer Hishamuddin turut diberikan penerangan mengenai rekaan dan kerja-kerja pembinaan jejantas berkenaan oleh pihak konsultan bagi projek itu.

    Manakala Pengetua Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS), Puteri Maharani Simanjuntak dalam temu bual ringkas dengan wartawan, merakamkan kegembiraan bagi pihak sekolah dan amat menghargai inisiatif dan tajaan Yang Dimuliakan Pehin bagi pembinaan jejantas berkenaan yang setentunya akan dimanfaatkan oleh para pelajar dan ibu bapa untuk keselamatan mereka ketika melintas jalan raya.

    Beliau menerangkan bahawa sekolah berkenaan pada masa ini mempunyai kira-kira 1,100 orang pelajar berdaftar untuk menghadiri sesi pembelajaran pagi dan petang di mana kawasan berkenaan sering kali mengalami kesesakan lalu lintas apabila waktu tamat pengajian.

    Beliau percaya dengan ada-nya jejantas berkenaan ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta akan dapat meningkatkan keselamatan bagi semua pejalan kaki yang melintas jalan berkenaan terutamanya pelajar, ibu bapa dan juga jemaah masjid berdekatan.

    Pembinaan jejantas bermula pada 24 Februari lalu dan dijadualkan siap pada suku ketiga 2023.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda