Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jelajah TPNS di UMSKAL promosi biasiswa pelajar memerlukan

    LABUAN, 27 OKT – Sabah melalui exco pendidikan negeri menganjurkan jelajah di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bertujuan mempromosikan biasiswa kerajaan negeri.

    Inisiatif itu sebahagian daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata tabung tersebut bertujuan menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan.

    “Kami menawarkan biasiswa itu kepada sekurang-kurangnya 300 pelajar UMSKAL. Namun mereka perlu memohon melalui portal TPNS.

    “Sejak ditubuhkan, TPNS telah mengagihkan RM9.7 juta dan untuk tahun ini sebanyak 5,000 permohonan biasiswa diluluskan,” katanya selepas Program Jelajah di UMSKAL di Labuan hari ini. Beliau berkata lebih 11,000 penuntut di dalam dan luar negara dijangka mendapat manfaat daripada program biasiswa itu.

    Mohd Ariffin berkata untuk memastikan biasiswa itu disalurkan dengan lebih berkesan satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang akan bekerjasama dengan pihak universiti dan institusi pendidikan lain bagi mengenal pasti penerima layak.

    Beliau berkata jawatankuasa tempatan juga disaran membantu mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan kewangan. Selain TPNS, beberapa organisasi turut menyumbang kepada inisiatif biasiswa tersebut termasuk Biasiswa Kumpulan Yayasan Sabah, Perbadanan Baitulmal Sabah, Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri. – Bernama

    Datuk Dr Mohd Arifin ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda