Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah haji lontar jamrah, tuju Mekah

    MINA, ARAB SAUDI, 28 JUN – Hampir 2 juta jemaah haji hari ini melontar jamrah di Aqabah, yang merupakan sebahagian daripada kemuncak ibadah haji terbesar sejak pandemik, ketika Arab Saudi dicengkam kepanasan.

    Dari fajar subuh di Mina, jutaan jemaah haji mula melontarkan tujuh biji batu ke arah Aqabah yang melambangkan syaitan kemudian menuju ke Mekah bagi ibadah tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram.

    Lebih daripada 1.8 juta orang menunaikan ibadah haji pertama tanpa sebarang sekatan sejak COVID melanda dalam 2020.

    Kira-kira 2.5 juta, paling tinggi dalam rekod, menunaikan ibadah haji se-belum pandemik tersebut pada tahun 2019.

    Dengan setiap penjuru kelihatan orang ramai, jemaah haji perlu menghadapi suhu tinggi pada musim haji kali ini, yang bertepatan dengan musim panas di Arab Saudi.

    Suhu memuncak pada 48 darjah Celsius kelmarin, ketika jemaah haji solat di Arafah dan dijangka mencapai 47 darjah Celsius di Mina hari ini.

    Di Mekah, Masjidil Haram padat dengan jemaah daripada awal pagi lagi yang tawaf di Kaabah dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain kerana berjaya menamatkan ibadah haji.

    Jumlah jemaah haji tahun ini kurang daripada jangkaan pegawai haji, berbanding rekod tinggi 2019, kemungkinan besar kerana cuaca panas atau kosnya, di mana seorang jemaah haji perlu membayar sekitar AS$5,000 untuk menunaikan haji.

    Majoriti jemaah haji adalah warga asing, dari 160 negara berjumlah 1.6 juta daripada 1.8 juta keseluruhannya.

    Lontar jamrah menandakan bermulanya tiga hari sambutan Hari Raya Aidiladha, yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia dengan mengorbankan ternakan bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim ke atas anaknya.

    Manakala cabaran terbesar tahun ini bagi jemaah haji ialah kepanasan terutamanya bagi jemaah haji warga emas.

    Pakar memberi amaran bahawa suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius dan boleh menjadi fenomena tahunan di Arab Saudi menjelang akhir abad ini. – AFP

    Sebahagian jemaah haji yang telah sampai di Mekah dan memulakan tawaf, selepas melempar jamrah di Aqabah. – AFP
    Para jemaah haji melempar jamrah di Aqabah yang merupakan sebahagian daripada kemuncak ibadah haji. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda