MINA, ARAB SAUDI, 26 JUN – Ratusan ribu jemaah kelmarin berjalan kaki dan menaiki bas menuju sebuah bandar berhampiran Mekah bagi kemuncak ibadah haji yang menurut pegawai Arab Saudi boleh memecahkan rekod kehadiran.
Selepas melakukan tawaf di Kaabah, para jemaah akan bertolak ke Mina, kira-kira tujuh kilometer jauhnya, dalam keadaan cuaca yang panas.
Para jemaah yang memakai ihram, kebanyakannya membawa payung untuk berlindung dari panas matahari, akan membuat perjalanan dengan berjalan kaki atau menaiki bas yang disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Mereka akan bermalam di dalam khemah di Mina sebelum kemuncak haji pada hari ini, iaitu mengerjakan amalan wukuf di Bukit Arafah, di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir Baginda di sana.
“Ia adalah pengalaman yang sangat berharga,” kata Salim Ibrahim, seorang lelaki berusia 39 tahun warganegara Nigeria, ketika ditanya mengenai keadaan cuaca yang mencecah 46 darjah Celsius.
“Meskipun jika cuaca semakin panas, saya tetap akan kembali mengerjakan haji,” tambahnya.
Pegawai Arab Saudi berkata haji pada tahun ini mungkin yang paling ramai dalam sejarah. Selepas 2.5 juta orang jemaah dicatatkan pada 2019, jumlah jemaah telah dihadkan pada 2022 hingga 2022 kerana penularan COVID.
Sebagai langkah keselamatan, helikopter dan dron yang dilengkapi oleh kecerdasan buatan (AI) telah dikerahkan untuk memantau aliran trafik menuju Mina.
Sebuah bas kes tanpa pemandu, yang boleh membawa sehingga 11 orang penumpang, telah beroperasi antara kedua-dua buah kawasan termasuk Mekah, bandar paling suci bagi umat Islam, Mina dan Muzfalifah. – AFP