Sunday, February 9, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah Menteri kutuk serangan terhadap rumah ahli Parlimen Beruas

    PUTRAJAYA, 10 JAN – Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini mengutuk sekeras-kerasnya insiden lontaran molotov cocktail ke arah kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak pagi tadi, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Rentetan insiden itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Jemaah Menteri turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

    “Jangan sesekali membuat percubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat.

    “Jemaah Menteri turut memberikan amaran keras bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan hari ini berkata polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail ke rumah Ngeh, sehingga menyebabkan tiga kenderaan terjejas.

    Mohd Yusri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

    Fahmi berkata Jemaah Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya memadamkan kebakaran dengan pantas.

    Sementara itu katanya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkaitan kes tuntutan kumpulan Sulu. – Bernama

    Anggota Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mengesan punca kebakaran sebuah kereta Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilontar dengan molotov cocktail di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada 10 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda