Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jemaah tadarus Masjid Kampung Sungai Besar Khatam Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Jemaah tadarus Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar telah berjaya melengkapi sasaran membaca 30 juzuk setiap bulan sepanjang tahun ini.

    Bagi menzahirkan rasa syukur, majlis khatam Al-Quran ke-12 telah diadakan di masjid berkenaan dengan Doa Selamat telah dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.

    Setiausaha Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Lt Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Damit yang juga Pemangku Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut semasa ditemui antara lain menjelaskan, dengan keberkatan membaca Al-Quran secara istiqamah, mereka telah berjaya mencapai sasaran untuk melengkapkan bacaan 30 juzuk setiap bulan.

    “Ini jelas membuktikan kesungguhan semua jemaah untuk menambah pahala yang berlipat kali ganda di samping mengimarahkan masjid dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran,” kongsinya.

    Beliau seterusnya berharap ibadah yang sangat murni itu akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana pembaca Al-Quran yang berterusan juga akan sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah Yang Maha Besar.

    “Jemaah yang menyertai tadarus ini merupakan role model dan ikutan kepada jemaah-jemaah yang lain terutama untuk menarik minat generasi muda. Kita yakin masjid ini (Masjid Kampung Sungai Besar) akan terus bersemarak dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran,” tambahnya.

    Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diteruskan dengan surah-surah lazim bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang juga membacakan takhtim dan Doa Khatam.

    Turut menyertai majlis berkenaan ialah Penasihat Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Awang Muhammad Hazman, Lt Kol (B) Haji Awang Zaini, Awang Rahim dan Haji Mohiddin serta para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda