Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jenazah Tun Taib selamat dikebumikan

    KUCHING, 22 FEB – Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan pada 2:19 petang di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya.

    Keranda jenazah yang ditutupi dengan bendera Sarawak tiba di tanah perku-buran itu pada 1:40 petang dalam suasana hujan renyai.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut berkenan berangkat menghadiri upacara pengebumian tersebut.

    Selain itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara ratusan hadirin pada istiadat pengebumian negeri tersebut.

    Upacara dimulakan dengan bacaan talkin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi disusuli penye-rahan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi sebelum proses menyiram air mawar ke atas pusara dilakukan.

    Jenazah Abdul Taib disemadikan bersebelahan dengan pusara isteri Allahyarham, Toh Puan Laila Taib yang meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009.

    Pagi tadi, jenazah telah dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir dari 8 hingga 11:30 pagi.

    Solat jenazah kemudiannya diadakan di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham pada 12:56 tengah hari. – Bernama

    Jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar ke Masjid Demak untuk solat jenazah dan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...