Sumber pencahayaan memainkan peranan yang sangat penting buat pemandu terutamanya jika memandu pada waktu malam atau ketika cuaca buruk seperti waktu hujan.
Oleh itu, penjagaan lampu kereta adalah sangat penting bagi memastikan ia boleh digunakan ketika keadaan memerlukan apabila sedang memandu.
Pada dasarnya, setiap kereta pastinya dilengkapi beberapa jenis lampu pada kedudukan yang berbeza dan setiap daripadanya memainkan fungsi yang tersendiri.
Justeru pada artikel kali ini, laman blog BJAK akan mengongsikan kepada awda jenis-jenis lampu dan fungsinya sebagai rujukan kepada awda.
LAMPU HADAPAN
Setiap kenderaan pasti dilengkapi dengan dua jenis lampu hadapan iaitu lampu alur rendah (low beam) dan lampu alur tinggi (high beam).
Fungsi kedua-dua jenis lampu ini adalah untuk membolehkan pemandu melihat keadaan jalan raya dengan jelas dan membantu pengguna jalan raya lain menyedari keberadaan kenderaan awda.
Bagaimanapun, penggunaan kedua-kedua jenis lampu hadapan ini perlu bersesuaian dengan situasi dan tempat.
Sebagai contoh, lampu alur rendah digunakan ketika pemanduan biasa pada waktu malam dan tidak menyilaukan pemandu kenderaan lain.
Manakala lampu alur tinggi pula sepatutnya hanya digunakan jika berada dalam keadaan yang gelap dan tiada kenderaan lain di hadapan sama ada di laluan awda mahupun di laluan yang bertentangan.
Penggunaan lampu ini pada waktu yang salah boleh menyebabkan silau dan mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain.
LAMPU BELAKANG
Lampu belakang akan menghasilkan cahaya berwarna merah dan akan menyala apabila lampu depan turut dinyalakan. Sama seperti lampu hadapan, lampu belakang kereta turut membantu pengguna jalan raya yang berada di belakang awda menyedari kewujudan kenderaan awda di hadapan terutamanya pada waktu gelap.
Selain itu, lampu belakang juga akan membolehkan pemandu merancang jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan.
LAMPU BREK
Berbeza dengan lampu belakang kereta, lampu brek hanya akan menyala apabila brek kaki ditekan dan biasanya berwarna merah.
Pastikan lampu brek ini sentiasa berada dalam keadaan baik. Ia penting sebagai tanda amaran kepada kenderaan di belakang bahawa kereta awda sedang memperlahankan kenderaan atau ingin memberhentikan kenderaan.
Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan daripada berlakunya pelanggaran yang tidak diingini.
LAMPU PENCAHAYAAN SIANG
Lampu pencahayaan siang berfungsi untuk penggunaan pada waktu siang. Ia biasanya akan menyala secara automatik sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan.
Lampu ini bagaimanapun tidak menggantikan fungsi lampu hadapan memandangkan ia hanya akan menyala tanpa mengaktifkan fungsi lampu belakang. Ia direka bagi memudahkan pengguna lain untuk melihat kenderaan awda terutama ketika lampu depan tidak dinyalakan.
LAMPU ISYARAT KERETA
Lampu isyarat memainkan peranan yang sangat penting untuk pemandu terutama ketika ingin menukar arah atau lorong.
Kegagalan pemandu untuk mengaktifkan lampu isyarat ketika ingin menukar lorong boleh mengganggu pemandu lain dan tidak mustahil, menyebabkan kemalangan.
Pada kebiasaannya, lampu isyarat kereta terletak bersebelahan lampu hadapan dan lampu belakang.
LAMPU KABUS
Lebih dikenali sebagai fog lights, ia dipasang pada kedudukan lebih rendah pada bahagian hadapan kereta.
Lampu ini direka bagi mengelakkan cahaya daripada memantul semula dan menyilaukan penglihatan.
Pada kebiasaannya, lampu ini digalakkan untuk dipasang ketika cuaca berkabus, hujan lebat, jerebu atau ribut. Ia bagi membantu meningkatkan tahap penglihatan pemanduan.
Untuk lampu fog lights belakang pula, ia berfungsi untuk meningkatkan tahap kebolehlihatan kereta. Ini bermakna, kereta awda akan lebih mudah dilihat oleh kenderaan di belakang ketika cuaca-cuaca yang kurang elok.
Bagaimanapun, awda hanya disarankan untuk menggunakan fog lights pada waktu yang sesuai sahaja kerana tahap pencahayaannya dikatakan 30 kali ganda lebih cerah daripada lampu biasa.
LAMPU UNDUR
Lampu ini biasanya akan menyala untuk memberi amaran kepada kenderaan lain bahawa kenderaan awda sedang bergerak ke belakang. Ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada kenderaan di belakang untuk menjaga jarak dengan kenderaan awda.
LAMPU KECEMASAN
Lampu kecemasan berfungsi untuk memberikan isyarat berkelip serentak di bahagian kiri dan kanan. Pada kebiasaannya, lampu ini akan digunakan bagi memberi amaran kepada pemandu lain bahawa kenderaan awda sedang mengalami masalah atau kerosakan.
Bukan itu sahaja, awda juga boleh menyalakan lampu ini jika mendapati terdapat sesuatu yang berbahaya di hadapan dan secara tidak langsung ‘memaklumkan’ kenderaan di belakang bahawa awda sedang memperlahankan kenderaan. Walau bagaimanapun, awda dinasihatkan untuk menyalakan lampu ini apabila kena pada masanya sahaja.
LAMPU DALAM KERETA
Sama seperti namanya, lampu ini terletak di bahagian dalam kereta dan biasanya dinyalakan oleh pemandu atau penumpang di dalam kereta ketika perlu melakukan sesuatu tatkala cuaca di luar gelap.
Pada kebiasaannya lampu ini berwarna kuning redup bagi memastikan kadar kecerahannya tidak mengganggu pandangan kereta belakang. Namun ingat, awda perlu segera mematikan lampu ini jika tidak digunakan lagi kerana ia boleh menyebabkan bateri kereta awda rosak.
KENALI JENIS DAN FUNGSI LAMPU KERETA
Sebagai kesimpulan, meskipun ia nampak mudah namun mungkin ada lagi pemandu kereta yang masih belum benar-benar memahami fungsi-fungsi lampu yang ada pada kereta dan menggunakannya sesuka hati.
Sebagai pemilik kereta, awda sangat disarankan untuk memahami setiap jenis lampu dan fungsinya bagi memastikan ia digunakan pada waktu yang sesuai dan seterusnya mengelak daripada mengganggu pengguna jalan raya yang lain. – Agensi