Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jepun bina satelit kayu pertama dunia

    KYOTO, 29 MEI – Penyelidik Jepun kelmarin berkata mereka telah berjaya membina satelit kayu pertama di dunia dan ia dijangka berlepas ke angkasa menggunakan roket SpaceX yang dilancarkan dari Amerika Syarikat, kemungkinan pada September, lapor agensi berita Kyodo.

    ‘LignoSat’, gabungan perkataan ligno, awalan yang bermaksud kayu dan satelit, adalah hasil usaha pembangunan selama kira-kira empat tahun oleh sebuah pasukan dari Universiti Kyoto dan Sumitomo Forestry Co., bertujuan memanfaatkan kelebihan kayu yang mesra alam sekitar dan kos yang rendah.

    Satelit kayu dilihat sebagai lebih baik apabila terbakar semasa memasuki semula atmosfera Bumi berbanding logam, kerana ia boleh mencipta zarah alumina, yang boleh memberi kesan negatif terhadap cuaca dan komunikasi, menurut pasukan itu.

    Perkembangan terkini ini adalah ‘langkah yang amat berharga untuk kedua-dua industri angkasa lepas dan kayu,’ kata Universiti Kyoto dan syarikat produk kayu yang berpusat di Tokyo dalam siaran akhbar bersama mereka.

    LignoSat adalah kiub berukuran 10 sentimeter yang diperbuat daripada panel kayu magnolia setebal 4 hingga 5.5 milimeter, dengan rangka sebahagiannya dibina daripada aluminium. Ia mempunyai panel solar yang dilekatkan pada beberapa sisi dan berat kira-kira satu kilogram.

    Ia dibina berdasarkan teknik tradisional Jepun yang tidak menggunakan sebarang skru atau bahan pelekat. Pasukan tersebut telah mengesahkan ketahanan bahan kayu itu walaupun dalam persekitaran yang keras di angkasa lepas.

    “Kami ingin mencipta satelit, termasuk bahagian substrat elektronik (yang terkandung di dalamnya) sepenuhnya diperbuat daripada kayu pada masa hadapan,” kata Takao Doi, seorang angkasawan yang berkhidmat sebagai profesor khusus program di Universiti Kyoto. Satelit itu akan diserahkan kepada Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun pada 4 Jun. Ia akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa. – Bernama

    Lignosat, satelit kayu pertama di dunia buatan Jepun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...