Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun di tangga keempat dalam kedudukan kuasa Asia-Pasifik

    SYDNEY, 13 OKT – Jepun merosot ke tangga keempat dalam ranking negara paling berkuasa dan berpengaruh di rantau Asia-Pasifik, susulan kejatuhan ekonomi di Tokyo, menjadikan India yang sedang pesat membangun mengatasi negara matahari terbit itu.

    Dalam edisi 2024 Indeks Kuasa Asia yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Institut Lowy, iaitu badan pemikir Australia, Jepun mencatatkan 38.9 mata daripada 100, meningkat 1.6 mata berbanding tahun lalu, manakala India mencatatkan kenaikan sebanyak 2.8 mata dengan jumlah 39.1 mata, lapor agensi berita Kyodo.

    Amerika Syarikat mendahului dengan 81.7 mata, diikuti China dengan 72.7 mata.

    Analisis tersebut menilai kuasa komprehensif 27 negara dan wilayah di rantau ini merentasi lapan aspek termasuk keupayaan ketenteraan, sumber ekonomi, pengaruh diplomatik, dan pengaruh budaya yang dikira berdasarkan 131 petunjuk.

    Ia adalah kali pertama Jepun terpaksa melepaskan kedudukan di tempat ketiga sejak organisasi bebas yang berpusat di Sydney itu mula menerbitkan penilaian tahunan pada 2018.

    Gambar Freepik

    Tokyo kehilangan 1.4 mata dalam kategori ‘keupayaan ekonomi’ dan 4.2 mata dalam ‘hubungan ekonomi’, kerana kelebihan teknologi negara itu merosot dengan ketara ketika berdepan persaingan dengan Korea Selatan, China dan Taiwan, menurut laporan itu.

    Trend itu mengalihkan pelaburan asing daripada sektor teknologi Jepun dan menyumbang kepada penurunan produktiviti Jepun.

    Sementara itu, Jepun mencatatkan peningkatan 13.1 mata dalam ‘rangkaian pertahanan’, dengan laporan itu memetik janji Tokyo pada 2022 untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar bagi tempoh lima tahun.

    “Jepun sedang berubah daripada kuasa besar ekonomi dan budaya kepada negara yang lebih aktif dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan,” kata institut itu.

    Sepuluh negara teratas lain termasuk Australia dengan 31.9 mata, Rusia 31.1 mata, Korea Selatan 31.0 mata, Singapura 26.4 mata dan Thailand 19.8 mata. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda