Friday, January 10, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun, M’sia kukuh kerjasama isu serantau, global

    PUTRAJAYA, 10 JAN – Jepun dan Malaysia komited untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa, termasuk ketegangan di Laut China Timur, Laut China Selatan, Timur Tengah serta krisis yang berlarutan di Myanmar.  

    Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia menegaskan kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan komunikasi rapat dalam isu-isu berkenaan, mengukuhkan komitmen bersama ke arah mempromosikan keamanan dan kestabilan.  

    Dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada hari ini, Ishiba berkata mereka bertukar pandangan mengenai isu Laut China Timur, Laut China Selatan, Timur Tengah dan situasi di Myanmar.  

    “Kami bersetuju untuk mengekalkan komunikasi rapat berhubung perkara ini,” kata Ishiba semasa sidang media bersama Anwar Ibrahim di Putrajaya.

    Ishiba kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober tahun lalu.

    Menyoroti peranan strategik Malaysia sebagai jambatan antara Asia Tenggara dan Timur Tengah, Ishiba berkata Jepun menghargai kerjasama dengan Malaysia dalam menangani cabaran serantau serta memanfaatkan kepakaran ekonomi dan pandangan Asia Timur.  

    “Kami bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau, termasuk menangani isu di Timur Tengah,” katanya.  

    Ishiba turut mengumumkan komitmen Jepun untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam pengurusan risiko bencana, memandangkan cabaran banjir yang kerap dihadapi negara.  

    “Malaysia sering berdepan kerosakan akibat banjir. Dengan kepakaran dan pengalaman Jepun dalam pengurusan risiko bencana, kami bersetuju untuk bekerjasama bagi menangani isu ini,” katanya.  

    Menyentuh mengenai Ekspo Dunia 2025 di Osaka yang akan berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober tahun ini, Ishiba secara peribadi menjemput Anwar untuk hadir sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.  

    Sambil mengalu-alukan rakyat Malaysia ke ekspo berskala dunia itu, Ishiba berkata: “Saya berharap dapat menyambut ramai pelawat dari Malaysia ke Jepun semasa Ekspo 2025 Osaka, Kansai dan menawarkan layanan terbaik.”  

    Ekspo 2025 Osaka, bertemakan Designing Future Society for Our Lives, dijangka menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia, sekali gus menjadi peluang unik untuk Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan budaya dan ekonomi.  – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Shigeru Ishiba mengadakan sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda