Sunday, July 7, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Jepun sasar 60 juta pelancong asing setahun

    TOKYO, 20 JUN – Ketua pelancongan Jepun berkata hari ini matlamat negara untuk menarik 60 juta pelancong asing setahun – lebih dua kali ganda daripada jumlah semasa – mampu dicapai, walaupun timbul kebimbangan mengenai isu pelancongan yang semakin meningkat.

    Jepun pada tahun lalu menarik lebih 25 juta pelancong dari luar negara, sebahagiannya disokong oleh pembatalan sekatan sempadan era pandemik, dari negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Amerika Syarikat.

    Ichiro Takahashi, Ketua Agensi pelancongan Jepun, mengakui sasaran 60 juta yang diumumkan sebelum ini masih ‘sukar’, tetapi menegaskan ia mungkin dicapai.

    “Ia adalah angka yang boleh kami capai dengan melakukan usaha yang betul,” beritahu Takahashi pada taklimat di Tokyo.

    “Masih terdapat banyak tempat yang kurang dikenali di Jepun yang belum diterokai oleh pelancong dari luar negara – saya percaya Jepun mempunyai sumber pelancongan yang tidak terhingga,” kata Takahashi.

    Lebih tiga juta pelancong asing melawat Jepun untuk bulan ketiga berturut-turut pada Mei, menurut perangkaan kerajaan yang dikeluarkan semalam.

    Namun kemasukan pelancong ke Jepun telah mencetuskan semula kebimbangan mengenai pelancongan berlebihan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan penduduk tempatan mengadu tentang tingkah laku pelancong yang kadangkala tidak terkawal serta pelanggaran etika.

    Perbandaran yang terkenal dengan Istana Himeji sedang mempertimbangkan untuk mengenakan kenaikan yuran kemasukan ke tapak Warisan Dunia untuk pelancong luar negara empat kali lebih mahal berbanding penduduk tempatan, lapor media tempatan. – AFP

    Pelancong melawat tempat suci Komitake berdekatan stesen Kereta Api Fuji Subaru di Narusawa, wilayah Yamanashi, Jepun pada 19 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...