Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jepun sumbang peralatan tingkat keupayaan keselamatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Kerajaan Jepun melalui United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) telah menyumbangkan peralatan pengecaman wajah dan perisian yang berkaitan untuk kegunaan agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Negara Brunei Darussalam. 

    Sehubungan itu, sumbangan peralatan tersebut telah diterima oleh wakil kerajaan Brunei, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

    Penyerahan disempurnakan oleh wakil kerajaan Jepun, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru pada majlis yang berlangsung di bangunan JPM.

    Semasa berucap di majlis penyerahan ini, Dato Paduka Haji Sufian dan TYT Maeda Toru telah menyatakan bahawa sumbangan peralatan tersebut melambangkan hubungan dua-hala yang kukuh dan sudah lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun, khususnya dalam bidang keselamatan. 

    TYT Maeda Toru turut menyatakan bahawa sistem pengecam wajah yang diserahkan kali ini telah dibangunkan oleh syarikat teknologi terkemuka di Jepun, NEC, dan merupakan salah satu sistem yang paling canggih dan dipercayai hari ini yang mana dengannya akan dapat mengenal pasti pengganas yang mencurigakan, memberitahu pihak berkuasa yang berkaitan tentang maklumat mereka, dan membantu menghalang pengganas daripada menyeberangi sempadan. 

    Dato Paduka Haji Sufian ketika menyampaikan cenderamata kepada TYT Maeda Toru.
    Gambar ramai selepas majlis penyerahan sumbangan.

    Tuan Yang Terutama seterusnya menzahirkan harapan agar sistem tersebut akan dapat membantu meningkatkan keupayaan kawalan sempadan Brunei dan menyumbang kepada peningkatan keselamatan Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain di rantau ini.

    Majlis pada petang tadi seterusnya diteruskan dengan menyaksikan rakaman ucapan menerusi video daripada Siri Bjune selaku pengarah Program Jenayah Maritim Global, UNODC dan Maekawa Kentaro selaku pengurus besar Bahagian Hubungan Global NEC Corporation, Jepun.

    Para jemputan juga berpeluang untuk menyaksikan video mengenai NeoFace Watch Facial Recognition System yang dibekalkan oleh syarikat NEC Corporation, Jepun. 

    Turut menghadiri acara tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari JPM, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Penerbangan Awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...