Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jerayawara perkenal ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Seramai 139 orang pelajar di Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait telah menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.

    Jerayawara berkenaan dihasratkan untuk memberigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.

    Ia diisi dengan taklimat yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

    Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEANness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, selain menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN selaras dengan Moto ASEAN; Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Jerayawara turut dimeriahkan dengan Kuiz ASEAN untuk melihat sejauh mana pelajar-pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranannya dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Turut dipromosikan ialah aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

    Aplikasi berkenaan merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.

    SCI ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN iaitu ASEAN Communication Master Plan II (ACMP II) yang merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Wawasan ASEAN 2025.

    Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan menyampaikan hadiah semasa jerayawara tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...