Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerayawara perkenalkan budaya kopi Brunei ke Miri

    Oleh Nurdiyanah R.

    MIRI, 18 FEB – Dalam hasrat untuk mengetengahkan tarikan kekayaan budaya kopi Brunei kepada masyarakat negara jiran, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Negara Brunei Darussalam telah melancarkan acara jerayawara Brunei Coffee Trail Roadshow di Bintang Megamall, Miri, Sarawak baru-baru ini.

    Acara yang berlangsung selama dua hari itu dibuka untuk kunjungan orang ramai untuk mempamerkan jenama kopi terbaik dari Brunei, antaranya De Coffee, Dil’s Cafe, Erti Kafe, Three Light Coffee Bar, dan Oui Boutique Cafe.

    Antara yang hadir menyempurnakan pelancaran acara berkenaan ialah Datuk Bandar Miri, Yang Berhormat Adam Yii Siew Sang dan Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Haji Mohd Yusree Bin Haji Junaidi.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching, Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani bin Dato Paduka Sheikh Haji Abdul Gani dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Trade and Tourism Office Brunei, Haji Samat Junai.

    Jerayawara berkenaan bertujuan untuk mempamerkan budaya kopi Brunei Darussalam yang semakin berkembang ke pasaran Miri. Inisiatif acara berkenaan adalah cara yang menarik untuk mempromosikan suasana kafe tempatan sambil meletakkan Brunei sebagai destinasi pelancongan.

    Semasa acara berkenaan, pengunjung berpeluang untuk merasai pelbagai jenis kopi yang baru dibancuh, menemui teknik membuat kopi Brunei, melibatkan diri dengan barista mahir dan mendapatkan pandangan tentang budaya kopi tempatan.

    Antara suasana semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda