Wednesday, June 26, 2024
33.9 C
Brunei

    -

    Jerayawara perkenalkan sukan tekbol

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 16 JUN – Para pelajar dan penggiat sukan dari seluruh Daerah Belait mendapat gambaran yang lebih baik tentang sukan unik, tekbol yang menggabungkan unsur-unsur daripada kegemaran sukan tempatan iaitu sepak takraw dan pingpong sebagai sebahagian daripada Jerayawara Tekbol.

    Diadakan kelmarin di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Mumong, jerayawara itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Belait dengan kerjasama Persatuan Tekbol Brunei Darussalam, yang menghulurkan kepakaran mereka serta menampilkan meja melengkung unik yang sinonim dengan tekbol.

    Bercakap kepada presiden persatuan, Awang Mohammad Shukri bin Haji Damit menjelaskan bahawa jerayawara itu bertujuan membantu memberikan penerangan dan bimbingan mengenai sukan berkenaan kepada pemain yang berminat serta pelajar dari seluruh Daerah Belait.

    “Terdapat kira-kira 50 pemain jemputan yang hadir pada petang ini yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah di seluruh Daerah Belait. Kami ingin menyampaikan ilmu pengetahuan kepada atlet muda negara yang akan terus mengasah kemahiran mereka dalam sukan ini,” tambahnya.

    Beliau berharap jerayawara itu akan membantu menyediakan asas kepada perlawanan pertunjukan dan kejohanan yang akan diadakan pada masa hadapan.

    “Kami meletakkan asas untuk pemain bagi mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka tentang tekbol, dengan harapan mereka dapat bersaing dengan baik sebagai individu dan pasukan dalam pertandingan dan kejohanan tekbol yang akan datang.”

    Jerayawara tersebut disertai oleh pelajar dari Sekolah Menengah Perdana Wazir, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Maktab Anthony Abell dan Pusat Tingkatan Enam Belait.

    Antara pelajar yang hadir melihat demonstrasi tekbol di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Mumong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kelahiran Korea Selatan kembali pulih pada bulan April

    SEOUL, 26 JUN - Kelahiran di Korea Selatan kembali pulih dalam tempoh 19 bulan di tengah-tengah kebimbangan yang berlarutan mengenai penurunan berterusan dalam jumlah...