BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan, baru-baru ini, telah meneruskan lagi jerayawara untuk majikan-majikan yang baharu berdaftar yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, jerayawara kepada majikan berkenaan merupakan salah satu inisiatif reaching out dalam memudahkan lagi hal ehwal pengurusan pendaftaran serta pembayaran pekerja-pekerja mereka yang memenuhi pensyaratan skim TAP dan Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP).
Jerayawara tersebut menerangkan mengenai tanggung-jawab majikan dalam mendaftar dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah skim TAP dan Skim
SCP.
Kenyataan menekankan, pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke dalam skim TAP dan skim SCP.
Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Jerayawara diteruskan dengan sesi taklimat mengenai tatacara penggunaan perkhidmatan online TAP, e-Amanah. Setiap majikan baharu yang berdaftar di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) juga akan didaftarkan secara automatik ke sistem online TAP, e-Amanah.
Semasa jerayawara berkenaan, majikan juga diberikan tunjuk ajar tatacara menggunakan sistem e-Amanah seperti mendaftar masuk, membuat pendaftaran pekerja yang memenuhi pensyaratan, mengemas kini maklumat pekerja dan syarikat, membuat pembayaran caruman TAP dan SCP dan menyemak status pembayaran caruman bulanan pekerja. Kemudahan ini hanya perlu dibuat melalui online tanpa majikan perlu mengunjungi mana-mana kaunter TAP.
Kenyataan menyatakan, penggunaan secara penuh perkhidmatan online ini adalah selaras dengan usaha TAP dalam memberikan perkhidmatan yang efisien, efektif dan mudah kepada majikan.
Selain daripada sesi taklimat, jerayawara yang diadakan setiap bulan berkenaan turut menyediakan petak e-Amanah bagi membolehkan majikan melihat lebih dekat lagi kemudahan menggunakan perkhidmatan online ini.
Majikan-majikan yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai jerayawara tersebut atau mengenai perkhidmatan online e-Amanah bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel di ask@tap.com.bn.