Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Jerman, UBD tingkat kolaborasi penyelidikan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Jerman mempunyai sejarah yang kaya dengan inovasi serta berpotensi besar bagi meningkatkan lagi kolaborasi dalam bidang penyelidikan antara Jerman dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Perkara itu antara yang ditekankan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler semasa menyampaikan seminar bertajuk Landskap Penyelidikan di Jerman yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan ILIA, UBD, hari ini.

    Hadir semasa seminar berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, penolong-penolong naib canselor, pegawai-pegawai kanan, pensyarah-pensyarah serta pelajar-pelajar UBD.

    Dalam seminar itu lagi, PYT Gerda Winkler menyatakan bahawa kejayaan sejarah inovasi Jerman boleh disaksikan melalui perkembangan pelbagai teknologi canggih termasuk teknologi sel bahan api dan juga menyumbang kepada pembangunan salah satu daripada vaksin COVID-19 pertama di dunia.

    Beliau turut menekankan peranan kritikal penyelidikan dan pembangunan dalam memastikan kejayaan ekonomi serta juga mengetengahkan kedudukan Jerman sebagai salah satu pelabur utama dunia dalam bidang berkenaan.

    Landskap teknologi dan penyelidikan Jerman, dengan kira-kira 400 kluster penyelidikan dan inovasi serta lebih 700,000 orang kakitangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, menawarkan pelbagai peluang untuk bekerjasama, jelasnya lanjut.

    Di samping itu, PYT Gerda Winkler juga mengetengahkan komitmen Jerman kepada kolaborasi antarabangsa dan ke arah itu, menekankan potensi kerjasama dengan UBD.

    Beliau menyatakan, dengan kedudukan UBD yang berada di barisan hadapan kecemerlangan akademik di Brunei, usaha memupuk kolaborasi dengan institusi Jerman boleh membuka ruang baharu bagi inisiatif penyelidikan, pertukaran ilmu pengetahuan dan projek bersama.

    Seminar itu bermatlamat bagi menggalakkan cendekiawan lepasan kedoktoran dari UBD untuk meneroka peluang-peluang kerjasama dengan Jerman dengan memupuk kefahaman yang mendalam mengenai persekitaran penyelidikan yang maju.

    Dr Hazri menghadiri seminar yang berlangsung di Dewan Kuliah Bangunan ILIA, UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    PYT Gerda Winkler semasa menyampaikan seminar tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...