Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jet C919 China bersaing dengan Boeing, Airbus

    BEIJING, 2 OKT – Pengawal selia China telah meluluskan jet penumpang besar yang pertama dikeluarkan di negara itu, kata media tempatan, dengan Beijing berharap pesawat itu akan mencabar model asing seperti Boeing 737 MAX dan Airbus A320.

    Jet C919, yang dibina oleh Commercial Aircraft Corp of China (COMAC) milik kerajaan, telah diperakui di Lapangan Terbang Ibu Kota Beijing dalam satu majlis rasmi pada Khamis, menurut laporan dan gambar media sosial.

    Pesawat itu adalah percubaan China untuk menghasilkan kapal terbang dengan potensi komersial besar-besaran, yang akan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing walaupun kebanyakan bahagian C919 datang daripada pembekal luar negara.

    Presiden Xi Jinping memuji projek itu pada acara berasingan di Beijing pada Jumaat, memuji pesertanya sebagai tonggak dan wira besar negara, menurut media kerajaan.

    China adalah tuan rumah kepada pasaran penerbangan kedua terbesar di dunia dan syarikat penerbangan negara telah menyokong sepenuhnya jet itu, walaupun ia belum menerima lampu hijau daripada pengawal selia AS dan Eropah.

    Pesawat itu juga memerlukan lesen lanjut untuk memasuki pengeluaran besar-besaran.

    Xi berkata projek itu ‘telah mencatat pencapaian yang amat membanggakan’, dan menambah bahawa China ‘mesti terus memberi tumpuan kepada teknologi teras dan menyatukan usaha kami untuk membuat penemuan penting’, lapor penyiar negeri CCTV.

    “Memiliki jet besar China yang terbang tinggi di langit adalah satu usaha yang dilakukan dengan kehendak negara, impian negara dan jangkaan rakyat”, lapor CCTV. – AFP

    Gambar fail menunjukkan jet C919 di Daerah Pucheng, Wilayah Shaanxi di barat laut China pada 18 Julai 2022. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda