Tuesday, April 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jimat duit’ faktor utama bercuti di negara sendiri

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Penghujung tahun yang sinonim dengan musim percutian merupakan waktu yang sering digunakan oleh ramai orang untuk ke luar negara bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, namun terdapat juga sesetengahnya yang memilih untuk bercuti dalam negara bersama orang-orang yang tersayang.

    Tinjauan menerusi aplikasi media sosial, Instagram baru-baru ini telah mendapati ramai dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini memilih untuk bercuti di dalam negara.

    ‘Jimat duit’ merupakan antara respons yang diberikan oleh para pengguna media sosial mengenainya, yang menurut mereka, dapat mengurangkan perbelanjaan.

    Dengan bercuti di negara sendiri, kos perbelanjaan minyak kereta atau tambang tiket penerbangan dapat digunakan untuk sesuatu yang lebih berguna, tambahan menjelangnya pembukaan sekolah yang memerlukan mereka membeli barangan dan keperluan sekolah anak-anak.

    Di samping itu, pengguna akaun Maz_dellina turut mengongsikan bahawa dengan bercuti di dalam negara, bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malahan ia juga dapat memberikan lebih masa untuk diluangkan bersama ahli keluarga dan pada masa yang sama boleh digunakan untuk bergotong-royong membersihkan rumah.

    Ibu bapa membawa anak-anak mereka ke salah sebuah taman permainan untuk meluangkan masa bersama keluarga semasa musim cuti persekolahan.

    Lazimnya pada musim percutian, kesesakan lalu lintas terutamanya di beberapa pos kawalan sempadan negara juga akan dapat disaksikan yang boleh memakan masa berjam-jam lamanya untuk sampai ke destinasi yang dituju, maka tidak hairanlah ada kalangan orang ramai yang tidak berhasrat untuk melakukan perjalanan rentas sempadan pada masa-masa percutian ini.

    Walau bagaimanapun beberapa orang pengguna Instagram yang lain turut memberikan pandangan sebaliknya dengan menyatakan bahawa bercuti di luar negara lebih memberikan keseronokan berbanding di dalam negara.

    Dayang Jorrani binti Haji Zainal, melalui akaunnya berkongsi bahawa beliau mendapati semasa musim percutian ini, tidak banyak aktiviti yang menarik dianjurkan di negara ini yang menjadikan suasana di sini menjadi lebih sunyi berbanding di luar negara.

    Sementara itu, mukri.36 turut mengongsikan perkara yang sama dan memberikan saranan agar Festival Disember Brunei yang merupakan suatu inisiatif yang bagus supaya dapat ditambah baik seiring dengan perkembangan teknologi pada masa ini.

    Ada juga pengguna media sosial yang mengongsikan bahawa dengan bercuti di luar negara mereka dapat berbelanja dengan lebih jimat dan mendapatkan pelbagai barangan yang terdapat di luar negara dengan harga yang lebih berpatutan.

    Secara kesimpulannya bercuti di dalam negara mahupun di luar negara sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri, tergantung kepada kehendak dan kemampuan masing-masing.

    Oleh itu kita seharusnya bijak memilih dan mengatur kewangan dengan sebaiknya, pada masa yang sama tidak melepaskan peluang untuk menggunakan masa yang berharga ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda